KUALA LUMPUR: Skuad hoki 5 sebelah (5's) lelaki kebangsaan enggan memandang rendah kemampuan lawan dalam Kumpulan D di Piala Dunia 5's yang dijadual berlangsung dari 28 hingga 31 Januari depan di Muscat, Oman.
Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama tuan rumah Oman, Fiji dan Amerika Syarikat dan bagi pengurus pasukan, Mohamad Sukri Abdul Mutalib, sukar untuk menentukan kemampuan lawan memandangkan kejohanan ini kali pertama dianjurkan.
Justeru itu, skuad negara yang dijadual membuka tirai kempen dengan bertemu Oman pada 28 Januari depan akan mengambil pendekatan memberi tumpuan dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
"Kita belum meletak apa-apa sasaran, hanya memberi tumpuan dari satu perlawanan ke satu perlawanan. Kita tak mahu memberi tekanan kepada pemain. Apa yang mustahak sekarang ini adalah mempersiapkan pasukan sebaik mungkin.
"Piala Dunia ini pertama kali dianjurkan, jadi tak dapat gambaran yang jelas bagaimana kekuatan pasukan lawan," kata Sukri yang juga bekas pemain hoki padang sebelum ini.
Dalam pada itu, Sukri berkata, pasukan yang dikemudi Wallace Tan akan cuba memberikan cabaran kepada lawan bagi melepasi saingan peringkat kumpulan.
"Kita akan cuba tetapi seperti saya katakan, kita fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan dahulu. Cuba dapatkan keyakinan dan kalau menang perlawanan pertama, ia akan memberi keyakinan kepada perlawanan seterusnya.
"Hoki 5's berbeza dengan hoki padang. Walaupun pasukan bukan nama besar dalam hoki tetapi apabila hoki 5's, mereka mampu memberikan cabaran," katanya.
Selain skuad lelaki, pasukan wanita 5's kebangsaan turut dijadual menyertai kejohanan sama dengan diundi dalam Kumpulan A bersama Fiji, Belanda dan Oman dari 24 hingga 27 Januari depan.
https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2023/12/1190156/skuad-hoki-5-sebelah-sertai-piala-dunia
Sumber : berita harian online