Self-Audit Needs | SPORTS ACADEMY
» NEWS » Self-Audit Needs

Self-Audit Needs


30 September 2016-MANUSIA merupakan makhluk ciptaan Allah SWT yang sungguh istimewa – lebih baik dan mulia berbanding makhluk lain. Ia berdasarkan firman-firman Allah yang jelas menunjukkan betapa Allah menjadikan kita sebaik-baik kejadian dan mempunyai banyak kelebihan seperti berakal, berfikir, berilmu, berdaya imaginasi, kreatif, berkemahiran, berketrampilan serta sebagainya.

Segala kelebihan ini adalah rahmat dan kurniaan Allah yang wajib disyukuri dan jangan sesekali dikufuri. Disebabkan itu, manusia diberi kepercayaan untuk memikul amanah dan tanggungjawab yang tidak dapat ditanggung oleh makhluk lain. Dengan akal, manusia mampu menilai sesuatu perbuatan sama ada baik atau sebaliknya.

Jadi tidak hairanlah, kemampuan manusia dalam mentadbir muka bumi ini amat dicemburui oleh para syaitan dan sekutunya. Lebih-lebih lagi, mereka yang sentiasa taat dan patuh kepada segala yang diperintahkan serta sering muhasabah diri terhadap amalannya. Firman Allah dalam Surah al-Hasyr ayat 18:

“Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.”

Sesungguhnya, orang yang bekerja dan tidak meminta-minta sangat disukai oleh Islam. “Rasulullah S.A.W ditanya, Wahai Rasulullah, pekerjaan apakah yang paling baik? Baginda menjawab, pekerjaan seseorang dengan tangannya sendiri dan setiap perniagaan yang baik,” - Riwayat Ahmad dan Al-Bazzar

Akibat gagal mematuhi prasyarat ini, maka timbul beberapa kes salah laku dalam kalangan pekerja sama ada awam, swasta atau persendirian. Jika tidak di atasi segera, ia boleh menjadi barah yang berbahaya kepada agama, bangsa dan negara sekali gus menyumbang kepada peningkatan permasalahan sosial.

Persoalannya, apakah punca berlakunya gejala ini? Ya, sebenarnya sikap individu yang tidak takut kepada Allah SWT menjadi punca utama. Sebenarnya, gerak geri kita bukan sahaja diperhati oleh Allah, bahkan turut direkod oleh malaikat di kiri dan kanan.

KETIADAAN INTEGRITI

Selain itu, kegagalan mengawal nafsu daripada godaan pelbagai hidangan gaya hidup moden dan kemewahan yang di luar kemampuan memburukkan lagi permasalahan ini. Malah masyarakat Islam sering menjadi juara dalam kes seperti rasuah, pecah amanah, kebocoran maklumat rahsia kerajaan, menipu dokumen tuntutan lebih masa dan perjalanan, khalwat, dan gangguan seksual.

Begitu juga isu berkaitan lewat masuk ke pejabat, keluar pejabat tanpa izin dan menggunakan harta kerajaan yang menyebabkan imej diri dan jabatan tercemar.

Secara tidak langsung, sikap negatif ini menggambarkan kelemahan iman dan akhlak pekerja itu sendiri dan bukannya semata-mata kelemahan institusi pentadbiran sesebuah organisasi.

Ingatlah, kita bertanggungjawab kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Oleh itu, setiap kesalahan yang dilakukan perlu diaudit agar kita hidup dengan selamat. Allah SWT mengingatkan kita dalam surah al-Zalzalah ayat 7-8:

“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!. Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!,”

Pekerjaan kita hari ini merupakan amanah besar rakyat yang telah meletakkan keyakinannya kepada kita. Oleh itu kita perlu memastikan rezeki yang diperoleh buat menampung kehidupan ini halal dan diberkati Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:

“Daripada Abu Abdillah Nu’man bin Basyir r.a. berkata, saya mendengar Rasulullah S.A.W bersabda, “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhat bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan,” - Riwayat Bukhari dan Muslim.

Article By: JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA  |  10 August 2016 6:00 PM



Search By : Financial Management Unit Internal Audit Division


Date of Input: | Updated: | faiz_suparman

MEDIA SHARING

SPORTS ACADEMY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXEUAAG~