Kata Aluan | AKADEMI SUKAN
» MENGENAI KAMI » DARI MEJA PENGARAH » Kata Aluan

Kata Aluan



Sebagai pembuka kata, saya mengalu-alukan semua pengunjung yang sudi melayari laman web Akademi Sukan UPM dari pelbagai latar belakang, dalam mahupun luar negara. Bermulanya musim dan penggal yang baru ini, ingin saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak atas segala sokongan yang telah diberikan kepada kami di Akademi Sukan sehingga hari ini untuk terus menapak dan memperbaiki prestasi dan komitmen kami hingga tidak berbelah bagi.

Sempena peralihan tampuk kepimpinan di penggal yang baru ini, saya sebagai orang yang diberi peluang untuk meneruskan kesinambungan kepimpinan sebelum ini berharap agar semua pihak akan terus memberi semangat dan sokongan kepada saya untuk memikul tugas dan tanggungjawab ini dengan lebih cemerlang sejajar dengan perkembangan dan globalisasi yang semakin mencabar.

Pepatah ada mengatakan, lain orang lain pendapat, namun itu tidak bermakna terdapat rombakan yang ketara dalam organisasi kami. Mungkin terdapat sedikit kelainan yang perlu ditonjolkan, namun masih tidak tersasar dari objektif dan matlamat asal penubuhan Akademi Sukan. Pelbagai aktiviti, program dan hala tuju yang dijalankan sebelum ini masih dikekalkan, malah ada juga pembaharuan yang akan turut diperkenalkan. Sebagai contoh, Akademi Sukan kini akan lebih berfokuskan kepada aspek pengantarabangsaan dimana kami bercita-cita untuk memperkenalkan Akademi Sukan di peringkat global serta berusaha untuk mengukuhkan penjenamaan kami melalui penawaran kursus dan program sains sukan yang berkualiti. Selain itu, kami juga turut diberi peluang untuk membentuk dan mengendalikan pusat kecemerlangan sukan yang akan menjadi tonggak utama Akademi Sukan dalam tempoh yang terdekat. Tugas dan tanggungjawab ini jelas membuktikan bahawa kami telah diberi kepercayaan oleh pihak UPM untuk meneruskan tradisi kecemerlangan sukan yang sememangnya menjadi salah satu tunjang kegemilangan UPM sendiri.

Walaupun aktiviti dan fokus kami semakin berkembang, namun aktiviti penjanaan ilmu masih giat dijalankan melalui bidang penyelidikan yang turut menyumbang ke arah peningkatan taraf sebagai universiti penyelidikan. Kepada sesiapa yang berkenaan, saya mengalu-alukan dan berbesar hati sekiranya ada yang berminat untuk memohon geran penyelidikan melalui Akademi Sukan atau sesiapa yang ingin bekerjasama dengan kami dalam apa jua aspek bagi memenuhi tujuan dan matlamat tersebut.

Akhir kata, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua kakitangan UPM dan Akademi Sukan khususnya yang telah dan sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada saya tanpa jemu untuk terus memikul dan menjalankan amanah dan tanggungjawab ini. Saya juga menyeru agar marilah kita sama-sama untuk terus bergerak maju ke hadapan terutama dalam memartabatkan industri sukan yang semakin banyak memberi sumbangan dan mengharumkan nama negara.

 

PROF. DR. SHAMALA SUBRAMANIAM

Pengarah Akademi Sukan UPM

 

 

Kemaskini:: 17/05/2017

PERKONGSIAN MEDIA

LIHAT JUGA
AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
B1566381856