Ainaa Ke Separuh Akhir Kelayakan Kejuaraan Dunia | AKADEMI SUKAN
» BERITA » Ainaa Ke Separuh Akhir Kelayakan Kejuaraan Dunia

Ainaa Ke Separuh Akhir Kelayakan Kejuaraan Dunia

PETALING JAYA: Pemain muda skuasy negara, Noor Ainaa Amani Ampandi mengetuai cabaran Malaysia mara ke separuh akhir pada Kelayakan Kejuaraan Dunia di Kelab Edgbaston Priory, Birmingham semalam.

Ainaa yang masih segar dengan kejayaannya merangkul gelaran pada Terbuka Vikram Goyal SRFI di New Delhi, India, minggu lalu, meneruskan rentak konsistennya apabila mengetepikan wakil Mesir, Nour Heikal 11-4, 11-4, 11-6 dalam masa 16 minit pada suku akhir.

Kejohanan tersebut menawarkan 12 slot (enam wanita dan enam lelaki) untuk direbut bagi melayakkan diri ke Kejuaraan Dunia yang akan berlangsung di Chicago, Amerika Syarikat, Mei ini.

Kejayaan Ainaa melepasi halangan awal tersebut, melayakkan dia bertarung di separuh akhir yang dibahagikan mengikut kumpulan yang mana pemain berusia 21 tahun itu berada dalam Kumpulan B dan akan bertemu pilihan kedua, Saskia Beinhard dari Jerman pada pukul 8.45 malam ini.

Selain Ainaa, rakan senegara, Aira Azman yang diletakkan sebagai pilihan ketiga dan mendapat bye pada suku akhir, akan turun beraksi menentang pemain Australia, Alex Haydon dalam saingan Kumpulan C pada pukul 9.30 malam ini (waktu Malaysia).

Turut mara ke separuh akhir dalam aksi wanita, dua lagi wakil Malaysia iaitu Chan Yiwen dan J. Yasshmita yang menundukkan lawan masing-masing.

Yiwen melepasi halangan pemain Finland, Emilia Korhonen 11-2, 11-3, 11-5, manakala, Yasshmita dipaksa bekerja keras sebelum mengejutkan pilihan ke-12, Rana Ismail dari Mesir 11-7, 4-11, 4-11, 12-10, 11-5.

Kedua-dua pemain itu akan beraksi lewat tengah malam waktu Malaysia dengan Yiwen menentang pilihan keenam, Nadia Pfister dari Switzerland dan Yasshmita bertemu wakil England, Kiera Marshall dalam Kumpulan F.

Sementara itu, dalam saingan lelaki, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar turut melepasi halangan suku akhir, awal pagi tadi, manakala Ivan Yuen yang diletakkan sebagai pilihan keempat hanya akan turun tengah malam ini setelah mendapat bye.

Addeen yang diletakkan dalam Kumpulan D untuk separuh akhir bertemu wakil tuan rumah, James Peach, mengalahkan Wong Chi Him dari Hong Kong 7-11, 11-7, 11-6, 9-11, 12-10 dalam masa 76 minit, manakala, Ivan menentang Yannick Wilhelmi dari Switzerland dalam Kumpulan F.

Nasib tidak menyebelahi dua lagi pemain negara, Yee Xin Ying dan Mohd Syafiq Kamal yang disekat langkah mereka oleh lawan masing-masing.

Naib Presiden SRAM, Sharon Wee ketika ditemui di Bukit Jalil, semalam, amat berharap, barisan pemain muda negara dapat memberikan yang terbaik untuk melepasi halangan pada kejuaraan tersebut.

“Sudah tentu mereka gementar, saya amat memahami mereka kerana saya pernah melaluinya sebagai bekas pemain, cuma saya harap para pemain kita dapat berikan yang terbaik untuk mara,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

https://www.utusan.com.my/sukan/2023/04/ainaa-ke-separuh-akhir-kelayakan-kejuaraan-dunia

 

Sumber : UTUSAN

Tarikh Input: 14/04/2023 | Kemaskini: 05/05/2023 | m_rizal

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXFCVAY~