Andre Sasar Pecah Rekod Peribadi | AKADEMI SUKAN
» BERITA » Andre Sasar Pecah Rekod Peribadi

Andre Sasar Pecah Rekod Peribadi

Andre (tiga dari kanan) bersama Queenie (dua kanan), Nor Sarah (empat kanan) bergambar bersama Pengarah Urusan AMB, Tomoharu Abe (lima dari kanan). Foto NSTP/Mohd Amin Jalil

 

NILAI: Selepas meraih pingat emas acara lompat kijang pada Sukan SEA ke-32 di Kemboja, Andre Anura Anuar menyasarkan untuk memecah catatan peribadi terbaik pada tiga kejohanan besar yang bakal disertainya tahun ini.

Ia membabitkan Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) di Bangkok, Thailand, bulan depan disusuli Sukan Universiti Dunia dan Sukan Asia yang kedua-duanya dijadual bakal berlangsung di China (Julai dan September).

Atlet berusia 22 tahun berasal dari Sabah itu mahu memastikan catatan terbaik peribadinya 16.51 meter (m) yang dicatatkan pada Sukan SEA di Hanoi tahun lalu, mampu diperbaharui pada tiga kejohanan terbabit.

"Saya bersyukur kerana kecederaan yang dialami sebelum ini sudah pulih dan berharap prestasi terbaik dapat dicapai dalam tempoh dua bulan ini.

"Harapan memang tinggi iaitu untuk memecahkan rekod peribadi 16.51m tetapi jika dapat kekalkan catatan itu ia sudah memadai kerana bakal berhadapan dengan pencabar lebih hebat di peringkat Asia," katanya.

Dia ditemui pada majlis ramah mesra dan meraikan kejayaan atlet Sukan SEA Kemboja bersama syarikat Ajinomoto (Malaysia) Berhad (AMB) di Pusat Hab Halal Bandar Enstek di sini, petang tadi.

Selain Andre Anura, dua lagi atlet olahraga kebangsaan yang turut dirai ialah Queenie Ting Kung Ni (lempar cakera) dan atlet lompat galah, Nor Sarah Adi, yang masing-masing meraih pingat perak di temasya berkenaan.

Sementara itu, Queenie menegaskan dia masih memburu catatan 58m selepas rekod yang dicatatkan di Kemboja sekadar 52.36m.

"Saya perlu bekerja lebih keras dalam latihan untuk memastikan suatu catatan melebihi 58m dapat dilakukan menjelang kejohanan akan datang," katanya.

 

https://www.bharian.com.my/sukan/olahraga/2023/06/1108997/andre-sasar-pecah-rekod-peribadi

 

Sumber : bharian

Tarikh Input: 03/06/2023 | Kemaskini: 03/06/2023 | m_rizal

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXFCKAN~