IPT Cungkil Bakat Atlet Pelapis | AKADEMI SUKAN
» BERITA » IPT cungkil bakat atlet pelapis

IPT cungkil bakat atlet pelapis

11 November 2022 

Kuala Terengganu: Kejohanan Olahraga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) adalah medan terbaik untuk melahirkan lebih ramai atlet berpotensi negara untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Demikian reaksi Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Dr Pekan Ramli yang melihat kejohanan olahraga IPT mampu melahirkan atlet bertaraf antarabangsa.

Malah beliau berkata, kejohanan edisi pertama ini yang sudah melalui tiga sirkit menampakkan impaknya apabila kontinjen negara berjaya merangkul 11 pingat emas pada Kejohanan Sukan Universiti Asean di Thailand, Ogos lalu.

"Kejohanan ini kali pertama diadakan di peringkat IPT, sebelum ini tidak pernah ada kejohanan olahraga yang khusus untuk universiti. Matlamat kejohanan ini selepas kita melihat kurangnya kejohanan olahraga tempatan selain melihat pencapaian atlet olahraga di peringkat negara serantau agak suram.

 

"Jadi KPT mengambil inisiatif mengadakan kejohanan olahraga sendiri dalam misi melahirkan lebih ramai atlet berbakat dan pelapis untuk mewakili negara.

"Selepas tiga sirkit berlalu, kita berjaya mencungkil ramai bakat baharu, nampak impak positif sebagaimana dibuktikan atlet ketika bertanding pada Sukan Universiti Asean di Thailand apabila kita meraih 11 pingat emas, ini petanda sangat baik.

"Jika tidak diadakan kejohanan olahraga ini, sudah pasti atlet kurang bersedia dan gagal mencapai keputusan cemerlang dalam kejohanan itu.

"Jadi selepas ini kami akan memberikan tumpuan kepada mereka untuk menjalani latihan lebih berfokus menjelang persiapan menyertai kejohanan Universiti Asean di Surabaya, Indonesia pada 2024," katanya ketika ditemui di Stadium Ragbi Sultan Mahammad Ismail di Gong Badak, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan memberikan penekanan khusus dan lebih berfokus kepada sukan yang boleh menyumbang pingat kepada negara.

Sirkit di Terengganu adalah sirkit keempat sebelum sirkit terakhir di Stadium Bukit Jalil pada Disember depan. Sebelum ini tiga sirkit sudah diadakan dengan Johor menjadi tuan rumah bagi sirkit pertama pada Mac, diikuti Perlis sirkit kedua pada Mei dan Sarawak sirkit ketiga pada Oktober lalu.

Dalam sirkit keempat ini, seramai 315 atlet daripada 27 IPTA dan IPTS bakal 'berkampung' selama tiga hari sehingga 13 November dengan masing-masing 17 acara bagi peserta lelaki dan wanita.

Antara atlet yang bertanding termasuk Azreen Nabila Alias, Muhamad Zulfiqar Ismail dan Queenie Ting Kung Ni yang mewakili Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

Sumber: Berita Harian Online

             Harian Metro

https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2022/11/902497/ipt-cungkil-bakat-atlet-pelapis

https://www.bharian.com.my/sukan/olahraga/2022/11/1024358/kejohanan-olahraga-ipt-mula-cetus-impak

 

Tarikh Input: 11/11/2022 | Kemaskini: 11/11/2022 | rohaida_h

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXFCLAX~