Korea Selatan Sekat Malaysia Di Piala Remaja Asia | AKADEMI SUKAN
» BERITA » Korea Selatan Sekat Malaysia Di Piala Remaja Asia

Korea Selatan Sekat Malaysia Di Piala Remaja Asia

Aksi pasukan Malaysia ketika menentang Korea Selatan. Foto: Ihsan AHF

 

KUALA LUMPUR: Skuad hoki remaja lelaki kebangsaan menamatkan cabaran di tangga keempat Piala Remaja Asia 2023 selepas tumpas 1-2 kepada Korea Selatan dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat kejohanan itu di Salahah, Oman.

Aksi di Kompleks Belia Sultan Qaboos menyaksikan Korea Selatan terlebih dahulu berada di depan apabila Lim Dohyun menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-22.

Kedudukan itu tidak kekal lama apabila Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari menyamakan jaringan buat Malaysia menerusi gol padang selang empat minit kemudian.

 

Bagaimanapun, Yoo Seungho muncul wira Korea Selatan apabila meledak gol kemenangan menerusi jaringan padang pada minit ke-37 sekali gus melunaskan misi balas dendam selepas pasukannya tewas 1-3 kepada Malaysia dalam perlawanan ketiga Kumpulan B, 27 Mei lalu.

Skuad hoki remaja lelaki negara muncul Juara Kumpulan B apabila merekodkan kesemua empat kemenangan bermula dengan membelasah Uzbekistan 8-1, diikuti menundukkan Bangladesh 5-1 pada aksi kedua dan menang tipis ke atas tuan rumah 1-0 pada saingan terakhir serta keempat kumpulan.

 

Semalam, juara tiga kali, Pakistan meranapkan impian Malaysia yang dibimbing Muhamad Amin Rahim untuk ke perlawanan akhir menerusi kemenangan besar 6-2 pada peringkat separuh akhir.

Pakistan akan menentukan kejuaraan menentang India, lewat hari ini.

Keputusan diraih Malaysia menyaksikan mengulangi pencapaian muncul pasukan keempat terbaik dalam edisi sulung pada 1988 dan juga 2004, dengan kedua-duanya berlangsung di Karachi, Pakistan.

Malaysia hanya pernah menjuarai kejohanan itu sekali pada edisi 2012 sewaktu menjadi tuan rumah dengan menundukkan Pakistan, 2-1, di Melaka. - BERNAMA

 

https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2023/06/1109073/korea-selatan-sekat-malaysia-di-piala-remaja-asia

 

Sumber : bharian

Tarikh Input: 02/06/2023 | Kemaskini: 02/06/2023 | m_rizal

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXFCIAv~