Malaysian Tigress Pastikan Malaysia Raih Emas Berganda | AKADEMI SUKAN
» BERITA » Malaysian Tigress Pastikan Malaysia Raih Emas Berganda

Malaysian Tigress Pastikan Malaysia Raih Emas Berganda

KUALA LUMPUR: Skuad wanita negara memastikan kejuaraan berganda buat Malaysia dalam acara hoki padang apabila memenangi pingat emas di Sukan SEA Kemboja 2023, hari ini.

Kejayaan itu hadir selepas skuad bimbingan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim menewaskan Thailand 4-1 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Hoki Kompleks Sukan Morodok Techo.

Pada aksi itu, kem negara cemas seketika apabila Thailand berjaya membuka tirai jaringan menerusi gol padang Natthakarn Aunjai seawal minit keempat.

Namun, anak buah Nasihin kembali menyamakan kedudukan dua minit kemudian menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Siti Nur Arfah Mohd Nor sebelum Nuraini Abdul Rashid meledak gol kedua pasukan hasil penalti stroke pada minit ke-18.

Dua lagi gol Malaysian Tigress diperoleh menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad dan Nur Afiqah Syahzani Azhar masing-masing pada minit ke-29 dan 49.

Pemain hoki wanita negara meraikan kejayaan memenangi pingat emas di Sukan SEA Kemboja 2023, hari ini. - NSTP/Fathil Asri

Pemain hoki wanita negara meraikan kejayaan memenangi pingat emas di Sukan SEA Kemboja 2023, hari ini. - NSTP/Fathil Asri

Kemenangan itu menyaksikan skuad wanita negara mempertahankan emas yang dimenangi pada edisi 2017 di Kuala Lumpur selepas hoki padang tidak dipertandingkan pada 2019 di Filipina dan 2021 di Vietnam.

"Alhamdulillah dengan kemenangan 4-1, walaupun kami ketinggalan terlebih dahulu, tetapi pujian untuk pemain yang kekal tenang dengan situasi itu dan kekal dengan perancangan kami serta berjaya bangkit dengan kemenangan.

"Untuk Sukan SEA kali ini, saya boleh simpulkan bahawa ianya satu kejayaan yang baik untuk pasukan dan kami tidak pernah bermain dengan keadaan cuaca panas dan mencabar seperti ini serta keadaan padang baru yang tidak sesuai dengan strategi pasukan.

"Namun saya melihat banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan apabila pulang ke Malaysia bagi memperkuatkan pasukan menjelang kejohanan yang akan datang," kata Nasihin selepas tamat perlawanan.

Terdahulu, skuad lelaki negara menepati ramalan apabila memenangi emas selepas mengatasi Singapura 3-0 pada aksi final.

 

https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2023/05/1102068/malaysian-tigress-pastikan-malaysia-raih-emas-berganda

 

Sumber : bharian

Tarikh Input: 17/05/2023 | Kemaskini: 17/05/2023 | m_rizal

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXFCVAm~