Malaysian Tigress Semakin Meningkat | AKADEMI SUKAN
» BERITA » Malaysian Tigress Semakin Meningkat

Malaysian Tigress Semakin Meningkat

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim tidak resah dengan keputusan lapan perlawanan pada Kejohanan Jemputan Antarabangsa yang berlangsung di Pusat Latihan Hoki Wujin, Wilayah Jiangsu, China, baru-baru ini menjelang temasya Sukan Sea Kemboja bermula 5 Mei ini.

Meskipun skuad negara tewas kesemua perlawanan itu, Nasihin menegaskan ia tidak menunjukkan kekuatan sebenar anak buahnya yang kini dalam fasa terakhir bagi mengekalkan pingat emas Sukan Sea yang dimenangi pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Katanya, peluang beraksi bersama kelab elit seperti Sony HC Bravia Japan yang juga bekas juara Liga Jepun serta LiaoNing dan JiangSu yang diperkuatkan pemain berstatus kebangsaan, banyak membantunya serta barisan kejurulatihan mempersiapkan pasukan menjelang temasya dwi tahunan itu.

"Kami barisan kejurulatihan tidak hanya melihat keputusan daripada kejohanan ini semata-mata, tetapi melihat daripada sudut positif di mana kami bermain dengan pasukan yang kuat dan kekuatan pasukan lawan juga banyak membantu kami untuk mempelbagaikan lagi strategi permainan menjelang Sukan Sea," katanya.

Ujar bekas penjaga gol kebangsaan itu, kejohanan berkenaan juga bukan hanya menguji kekuatan fizikal pemain tetapi mental kerana perlu beraksi beberapa perlawanan awal dalam keadaan berpuasa serta keadaan cuaca yang berubah sejuk selain perlu menyesuaikan diri dengan jadual perlawanan yang amat padat.

Secara keseluruhan, beliau berkata, barisan pemainnya menunjukkan peningkatan daripada satu perlawanan hingga perlawanan akhir dan menampilkan prestasi yang baik.

"Barisan kejurulatihan yang lain seperti jurulatih Lailin Abu Hassan dan Siti Rahmah Othman, banyak membantu dalam proses pemulihan pemain dari satu perlawanan ke satu perlawanan, selain Pengurus Pasukan, Rogayah Mohamad, turut bertindak membantu dalam menaikkan semula moral pemain untuk terus bersemangat mengharungi kejohanan jemputan ini.

"Selepas ini pemain akan diberikan cuti rehat sebelum sesi latihan kembali disambung pada 2 Mei dan terdapat pelbagai aspek yang akan diberikan tumpuan bermula dengan penjagaan makanan kerana seperti semua sedia maklum, pemain-pemain masih belum meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga mereka lagi.

"Selain itu tahap kecergasan pemain juga perlu dipastikan berada di tahap terbaik kerana kesempatan beberapa hari yang dimiliki sebelum ke Kemboja akan digunakan sepenuhnya bagi memperbaiki dan mempertajamkan lagi semua kelemahan serta kekurangan pasukan," jelas beliau.

 

https://www.hmetro.com.my/arena/hoki/2023/04/961177/malaysian-tigress-semakin-meningkat

 

Sumber : hmetro

Tarikh Input: 03/05/2023 | Kemaskini: 05/05/2023 | m_rizal

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXFCLAp~