Nor Sarah Terima Galah Baharu Bulan Depan | AKADEMI SUKAN
» BERITA » Nor Sarah Terima Galah Baharu Bulan Depan

Nor Sarah Terima Galah Baharu Bulan Depan

Atlet lompat bergalah negara, Nor Sarah Adi bakal menerima galah baharu awal bulan depan.

 

KUALA LUMPUR: Atlet lompat bergalah negara, Nor Sarah Adi bakal menerima galah baharu awal bulan depan dan perkara itu disahkan Majlis Sukan Negara (MSN).

Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin berkata, galah baharu itu sudah pun ditempah pada bulan lalu selepas berakhirnya Sukan SEA Kemboja dan ia akan tiba dari Amerika Syarikat (AS) pada bulan depan.

"Galah ini ditempah mengikut ketinggian diinginkan dan ia ditempah dari Amerika Syarikat. Saya menjangkakan galah baharu itu akan sampai pada 10 Ogos ini," kata Jefri ketika dihubungi BH Sukan, hari ini.

Sebelum ini, Nor Sarah memberitahu, dia memerlukan galah baharu sebagai persiapan bagi menghadapi temasya Sukan Asia Hangzhou yang berbaki kira-kira dua bulan sahaja lagi.

Atlet berusia 23 tahun itu berkata, dia memerlukan galah baharu itu bagi mencari keserasian secukupnya, lagipun galah yang digunakannya ketika ini sudah tidak dapat menampung keperluan dirinya.

Nor Sarah yang bakal menyertai kontinjen negara ke Sukan Universiti Dunia (UNIVERSIADE) di Chengdu, China bermula esok turut berkata, dia memerlukan lebih kurang sebulan dan banyak faktor yang perlu diambil kira sekiranya ingin memperbaiki rekod catatan peribadi (PB) 4.05m yang dilakukannya di Sukan SEA Kemboja, Mei lalu.

Pemenang pingat emas di Sukan SEA Vietnam 2021 dengan lompatan 4m begitupun berkata, dia akan cuba melakukan yang terbaik di Chengdu nanti dengan sasarannya melakukan 4.10m untuk layak ke Sukan Asia atas tiket Kategori A.

"Ia satu keperluan sebab galah sekarang sudah tak sesuai lagi kerana saya tinggi dan dengan kelajuan larian saya, galah sedia ada tak mampu menampung kapasiti yang saya berikan. Saya rasa seperti tak dapat kepuasan dalam lompatan dan galah itu tak mempunyai daya untuk membantu di atas," katanya sebelum ini.

 

https://www.bharian.com.my/sukan/olahraga/2023/07/1132247/nor-sarah-terima-galah-baharu-bulan-depan

 

Sumber : bharian

Tarikh Input: 28/07/2023 | Kemaskini: 28/07/2023 | m_rizal

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXFCIAA~