Nur Sarah Sasar Ke Olimpik | AKADEMI SUKAN
» BERITA » Nur Sarah Sasar Ke Olimpik

Nur Sarah Sasar Ke Olimpik

Nor Sarah Adi (kanan) menerima cenderahati daripada wakil syarikat AMB di Nilai, baru-baru ini. NSTP/Mohd Amin Jalil.

 

SEREMBAN: Bersaing pada peringkat tertinggi di Sukan Olimpik menjadi sasaran utama jaguh lompat bergalah kebangsaan, Nor Sarah Adi.

Meskipun impian itu bukan mudah untuk dicapai namun atlet berusia 22 tahun ini yakin ianya boleh direalisasikan.

 

 

"Kalau boleh saya nak pergi Olimpik, itu sasaran utama, soal sukar atau apa juga halangan itu perkara lain, insya-Allah kalau ada rezeki.

"Saya yakin dan percaya, ia boleh dicapai dengan latihan bersungguh-sungguh dan bimbingan daripada jurulatih," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada penyertaan di Sukan SEA di Kemboja baru-baru ini, Sarah membawa pulang pingat perak selepas mengakhiri saingan di kedudukan kedua dengan lompatan setinggi 4.05 meter (m).

Berbanding di Sukan SEA di Hanoi, Vietnam tahun lalu, dia memenangi pingat emas dalam acara lompat bergalah dan memenangi pingat gangsa dalam acara lari berganti-ganti 4×100 m.

Sarah berkata, walaupun gagal mempertahankan emas di Sukan SEA lalu, namun lompatan 4.05m itu dianggap pencapaian terbaik peribadinya bagi tahun ini.

Menurutnya, dia yakin catatan itu akan dapat ditingkatkan lagi apabila galah baharu akan tiba dalam tempoh terdekat ini.

"Masa persiapan Sukan SEA di Kemboja tempohari, tak sempat guna galah baharu, tapi sekarang tempahan galah sudah dibuat dan galah baharu ini nanti lebih sesuai dengan fizikal saya.

"Apabila proses kecederaan pulih sepenuhnya, saya akan mulakan latihan secepat mungkin untuk persiapan menghadapi beberapa kejohanan terutamanya Sukan Asia di China, September nanti.

"Ia penyertaan pertama saya di temasya sukan terbesar itu nanti dan sudah tentu saya mahukan pencapaian yang lebih tinggi serta keputusan yang lebih baik," kata penuntut tahun tiga Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.

 

https://www.bharian.com.my/sukan/olahraga/2023/06/1110437/nur-sarah-sasar-ke-olimpik

 

Sumber : bharian

Tarikh Input: 06/06/2023 | Kemaskini: 06/06/2023 | m_rizal

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXFCNAt~