Pesilat Negara, Farah Tak Serik Walaupun Patah Tiga Jari | AKADEMI SUKAN
» BERITA » Pesilat Negara, Farah Tak Serik Walaupun Patah Tiga Jari

Pesilat Negara, Farah Tak Serik Walaupun Patah Tiga Jari

Kuala Lumpur: Pesilat negara, Nor Farah Mazlan mengakui dia tidak serik untuk meneruskan karier dalam sukan tempur itu walaupun mengalami kecederaan patah tiga jari ketika bertanding di temasya Sukan Sea Kemboja baru-baru ini

Srikandi kelahiran Kota Belud Sabah itu yang meraih emas dalam acara Tanding 50 kilogram (kg) mengakui fokusnya selepas ini terarah kepada pemulihan dengan kadar segera pada tangan kanannya untuk mewakili negara menjelang Temasya Sukan Dalam Dewan dan Seni Bela Diri Asia (AIMAG) yang berlangsung pada November ini di Thailand.

 

"Saya disahkan mengalami patah pada bahagian tulang jari telunjuk, jari tengah dan juga jari manis. Saya beraksi di pentas final dan meraih pingat emas dengan keadaan tangan patah.

"Pada hari Isnin nanti saya akan membuat pemeriksaan dengan doktor untuk melihat tahap kecederaan saya secara keseluruhan.

 

"Saya harap kecederaan saya mampu pulih dengan segera kerana saya ingin mewakili negara di Thailand nanti. Seterusnya saya akan melakukan persiapan untuk memburu emas pada Kejuaraan Pencak Silat Dunia tahun depan di Indonesia," katanya yang juga merupakan juara dunia.

Sebelum ini, Nor Farah mengalami kecederaan patah tiga jari itu sewaktu bersaing pada separuh akhir ketika menewaskan atlet dari Thailand, Firdao Duromae 58-36 dalam kategori 45-50 kilogram (kg) Putri sebelum mengatasi jaguh dari Indonesia, Nadhrah Sahrin 23-16 di pentas final dengan sebelah tangan.

Dalam pada itu, atlet berusia 25 tahun itu mengakui tiada perasaan kesal dalam dirinya biarpun patah tiga jari ketika membantu negara membutirkan pingat emas ketika bersaing pada temasya dwitahunan tersebut.

"Saya rasa berbaloi kerana dapat pulang pingat emas untuk Malaysia dan ini memang sasaran utama saya di kemboja. Saya akan teruskan karier saya dalam sukan ini kerana saya rasa perjalanan saya masih lagi jauh dan saya yakin mampu teruskan perjuangan ini," tambahnya

 

https://www.hmetro.com.my/arena/lain/2023/05/969214/pesilat-negara-farah-tak-serik-walaupun-patah-tiga-jari

 

Sumber : hmetro

Tarikh Input: 22/05/2023 | Kemaskini: 22/05/2023 | m_rizal

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXFCPAb~