Queenie Berputih Mata Lagi | AKADEMI SUKAN
» BERITA » Queenie Berputih Mata Lagi

Queenie Berputih Mata Lagi

PHNOM PENH: Atlet wanita negara, Queenie Ting Kung Ni perlu menunggu dua tahun lagi untuk meraih pingat emas di temasya Sukan SEA apabila mengakhiri saingan di tempat kedua dalam acara lempar cakera, sebentar tadi.

Acara yang berlangsung di Stadium Morodok Techo itu menyaksikan Queenie sekali lagi tewas kepada pesaing utama dari Thailand, Subenrat Insaeng selepas wakil Malaysia itu mencatatkan rekod 50.73 meter (m) sekali gus membawa pulang pingat perak untuk negara.

Subenrat memenangi emas dengan rekod sejauh 57.69m manakala gangsa milik peserta Vietnam, Thi Cam Dung Le (45.080m).

Queenie yang juga pemegang rekod kebangsaan dalam acara terbabit berkata, Subenrat cukup liat untuk dikalahkan walaupun dia sudah membuat persiapan rapi dalam usaha membawa pulang pingat emas untuk negara.

"Saya akan kalahkan dia (Subenrat) nanti… lemparan kali ini agak kurang memuaskan berbanding sebelum ini namun saya terima tewas kepadanya seterusnya akan berusaha untuk mengalahkan wakil dari Thailand itu.

"Saya akui cukup sukar untuk menumpaskan wakil Thailand itu kerana sudah berusaha sejak 2019 namun paling hampir adalah pada Sukan Sea Di Hanoi, Vietnam, tahun lalu," katanya.

Di Hanoi, atlet berusia 25 tahun kelahiran Sarikei, Sarawak, itu hanya ketinggalan 0.73 meter (m) di belakang Subenrat (53.09m), untuk meraih perak dengan catatan rekod kebangsaan 52.36m.

Mengikut rekod, Subenrat digelar ratu lempar cakera Asia Tenggara apabila memenangi emas sejak penyertaan pada 2011 selain berpengalaman beraksi di Olimpik Rio 2016 dan Tokyo 2020.

 

https://www.bharian.com.my/sukan/olahraga/2023/05/1099516/queenie-berputih-mata-lagi

 

Sumber : bharian

Tarikh Input: 12/05/2023 | Kemaskini: 12/05/2023 | m_rizal

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXFCSAL~