Siti Nur Azwani Tekad Cipta Sejarah Di Kemboja | AKADEMI SUKAN
» BERITA » Siti Nur Azwani Tekad Cipta Sejarah Di Kemboja

Siti Nur Azwani Tekad Cipta Sejarah Di Kemboja

 

KUALA TERENGGANU: Selepas sah dipilih menggalas cabaran Malaysia pada temasya Sukan SEA edisi ke-32 di Kemboja pada Mei ini, atlet karate negara, Siti Nur Azwani Nor Azli tekad mencipta sejarah buat negara dan peribadi.

Jelas penuntut tahun dua Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan Sarjana Muda Komunikasi itu, dia mahu menghadiahkan pingat emas buat negara selepas gagal melakukannya di Vietnam tahun lalu.

 
 Atlet berusia 24 tahun kelahiran Padang Hiliran, Kuala Terengganu itu berkata, sasarannya itu berdasarkan prestasi semasa selain persembahannya kian matang selepas mengharungi dua edisi Sukan SEA.

Pada aksi di Vietnam, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar itu sekadar berpuas hati dengan kutipan gangsa acara berpasukan manakala Sukan SEA di Filipina, atlet yang baharu dinobatkan sebagai Olahragawati Terengganu 2023 itu gagal meraih sebarang pingat selepas terkandas penentuan pingat gangsa dalam kategori 50 kilogram (kg).

"Impian saya sudah pasti mahu memburu pingat emas bagi membalas kepercayaan barisan kejurulatihan karate negara yang memilih saya sekali lagi untuk menggalas cabaran skuad kebangsaan.

"Pada masa yang sama saya juga mahu memperagakan persembahan yang terbaik dalam temasya Sukan SEA di Kemboja nanti walaupun sedar bukannya mudah.

"Tapi apa sahaja warna pingat yang saya dapat nanti, saya tetap bersyukur sebab dalam kategori yang saya beraksi nanti, sememangnya lawan ada pengalaman lebih daripada saya. Tapi sekali lagi saya tegaskan pingat emas tetap menjadi buruan peribadi saya," katanya.

Pada temasya Sukan SEA di Kemboja nanti, Siti Nur Azwani bakal beraksi dalam kategori 61 (kg) individu.

Sebelum ini, dia pernah merangkul emas dan perak pada Sukan Universiti ASEAN 2022 selain emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2022, gangsa Sukan Tempur Universiti Dunia dan masing-masing dua gangsa Kejohanan Kebangsaan Terbuka Turki dan Finland musim lalu.

 

https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2023/03/1082090/siti-nur-azwani-tekad-cipta-sejarah-di-kemboja

 

Sumber : bharian

Tarikh Input: 28/03/2023 | Kemaskini: 28/03/2023 | m_rizal

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXFCIAp~