Skuad Bola Tampar Cemas Sebelum Tewaskan Myanmar | AKADEMI SUKAN
» BERITA » Skuad Bola Tampar Cemas Sebelum Tewaskan Myanmar

Skuad Bola Tampar Cemas Sebelum Tewaskan Myanmar

PHNOM PENH: Skuad bola tampar lelaki kembali 'bernyawa' apabila melakar kemenangan 3-1 ke atas Myanmar, sebentar tadi.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Tertutup Olimpik itu menyaksikan skuad negara pada awalnya tewas pada set pertama 20-25 namun mempamerkan kebangkitan pada baki tiga set terakhir untuk mencatatkan kemenangan 25-21, 25-14 dan 25-20.

Kemenangan itu cukup penting sebagai suntikan moral sebelum aksi terakhir Kumpulan B menentang Vietnam esok, sekali gus menghidupkan peluang mereka untuk beraksi di peringkat separuh akhir.

Kapten pasukan negara Sim Jian Qin berkata, Malaysia tidak mempunyai pilihan lain apabila wajib mencatatkan kemenangan menentang Vietnam esok.

"Saya sangat berpuas hati dengan komitmen dipamerkan rakan sepasukan pada perlawanan ini kerana bukan mudah untuk kita bangkit terutama selepas tewas pada set pertama," kata Jian Qin.

 

"Namun, semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh barisan pemain wajar dipuji kerana kita tidak lagi rasa gemuruh. Paling penting adalah selesa dengan keadaan di gelanggang.

"Mengenai perlawanan bertemu Vietnam, saya percaya apa saja boleh berlaku. Walaupun di atas kertas, mereka adalah pasukan pilihan tetapi kita akan tetap berjuang untuk mara ke peringkat separuh akhir."

Situasi sama turut diakui seorang lagi wakil negara yang beraksi di posisi 'setter', Khairol Shazrimie apabila Malaysia mampu meraih keputusan positif sekiranya terus mengekalkan momentum permainan ketika menewaskan Mynmar hari ini.

"Kita sudah kaji perlawanan membabitkan Vietnam sebelum ini dan melihat peluang untuk kedua-dua pasukan tetap sama. Saya percaya dengan perancangan taktikal yang baik, kita boleh lakar keputusan positif nanti," katanya.

 

https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2023/05/1097069/skuad-bola-tampar-cemas-sebelum-tewaskan-myanmar

 

Sumber : bharian

Tarikh Input: 05/05/2023 | Kemaskini: 12/05/2023 | m_rizal

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXFCIAm~