Skuad Hoki Remaja Kebangsaan Perlu Tingkatkan Prestasi | AKADEMI SUKAN
» BERITA » Skuad Hoki Remaja Kebangsaan Perlu Tingkatkan Prestasi

Skuad Hoki Remaja Kebangsaan Perlu Tingkatkan Prestasi

Aksi Malaysia ketika bertemu Oman awal pagi tadi. Foto AHF

 

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih pasukan hoki remaja kebangsaan, Muhamad Amin Rahim menggesa anak buahnya bangkit daripada persembahan 'hambar' meskipun skuad meraih kemenangan 1-0 ke atas Oman pada aksi terakhir peringkat Kumpulan B Piala Remaja Asia 2023, awal pagi tadi.

Amin berkata, persembahan dipamerkan pemain di Kompleks Sukan Salalah, Oman itu tidak menyamai prestasi yang ditunjukkan pada tiga perlawanan sebelum ini ketika mencatat keputusan lebih besar ke atas Uzbekistan (8-1), Bangladesh (5-1) dan Korea Selatan (3-1).

Justeru itu, Amin berkata, pemain perlu pantas bangkit menjelang pertembungan separuh akhir menentang Pakistan pada awal pagi Khamis ini bagi meneruskan rentak kemenangan yang dilakar sebelum ini.

 

"Syukur, kita keluar dengan kemenangan," kata Amin selepas perlawanan bertemu Oman. "Objektif untuk keluar dengan kemenangan tercapai tetapi secara keseluruhan, saya kurang berpuashati daripada sudut persembahan pemain.

"Kita banyak melepaskan peluang jaringan padang dan juga pukulan sudut penalti, nampak pemain agak sambil lewa dan kalau sikap ini berterusan, kita akan hadapi masalah untuk perlawanan separuh akhir.

"Dari awal, kita tahu yang kita ada peluang untuk kekal dalam kelompok teratas dan pemain sudah buktikannya pada tiga perlawanan sebelum ini. Walaupun hari ini, kita keluar dengan kemenangan tetapi saya tak puas hati daripada persembahan.

"Saya harap prestasi pada tiga perlawanan sebelum ini diteruskan dan (pemain) tidak terbawa-bawa dengan persembahan hari ini. Apapun, kita akan bersiap sedia untuk perlawanan separuh akhir menentang Pakistan."

Pakistan yang sebelum ini berada dalam Kumpulan A, menamatkan saingan di tempat kedua, berkongsi 10 mata bersama India yang begitupun mengungguli carta teratas kumpulan menerusi perbezaan gol.

"Untuk menentang Pakistan pada separuh akhir, kita mempunyai dua hari rehat. Kita akan gunakannya untuk proses pemulihan dan analisa kekuatan dan kelemahan Pakistan. Pakistan berada dalam Kumpulan A bersama India - pasukan terkuat untuk kejohanan ini.

"Kita dapat lihat ada beberapa kelemahan yang dikenalpasti pada Pakistan, harap pemain akan buat kerja rumah dan analisa pasukan lawan manakala jurulatih juga akan buat buat kerja analisa.

"Sekiranya kita turun dengan semangat seperti tiga perlawanan pertama, saya rasa kita boleh jelmakan keputusan yang baik di separuh akhir nanti," kata Amin.

 

https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2023/05/1107873/skuad-hoki-remaja-kebangsaan-perlu-tingkatkan-prestasi

 

Sumber : bharian

Tarikh Input: 30/05/2023 | Kemaskini: 30/05/2023 | m_rizal

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXFCJAk~