Skuad Hoki Remaja Negara Benam Uzbekistan 8-1 | AKADEMI SUKAN
» BERITA » Skuad Hoki Remaja Negara Benam Uzbekistan 8-1

Skuad Hoki Remaja Negara Benam Uzbekistan 8-1

SALALAH,Oman: Skuad hoki remaja negara memulakan kempen Piala Remaja Asia dengan langkah kanan apabila membelasah pasukan Uzbekistan dengan keputusan 8-1 dalam aksi Kumpulan B yang berlangsung di Kompleks Belia Kebudayaan dan Hiburan Sultan Qaboos, Oman sebentar tadi.

Skuad negara yang masih segar dengan kejayaan meraih pingat emas di Sukan SEA Kemboja tempohari berpesta jaringan seawal minit ketujuh menerusi T.Perabu yang menyempurnakan peluang menerusi pukulan sudut penalti.

Perabu terus cemerlang apabila hanya memerlukan selang dua minit kemudian untuk menggandakan kedudukan buat kem Malaysia apabila meledak menerusi peluang yang sama.

Alfarico Liau terus menambah derita Uzbekistan apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke 12.

Perabu melengkapkan hatriknya dalam perlawanan ini pada suku kedua permainan apabila sekali lagi meledak menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke 18.

Barisan anak buah Amin Abdul Rahim semakin selesa apabila Shahmie Irfan Suhaimi dan Che Nur Aqilrullah meledak gol hanya selang seminit untuk kedudukan menjadi 6-0.

Malaysia terus garang di babak keempat apabila Mughni Kamal meledak gol ketujuh negara pada minit ke 43 sebelum Adam Ashraf melengkapkan hari gemilang negara dengan gol kelapan.

Uzbekistan akhirnya memperoleh gol saguhati lima minit sebelum perlawanan ditamatkan apabila Shavkatjin Kakhramonov meledak menerusi gol padang, namun kebangkitan itu tetap gagal untuk menghalang Malaysia meraih kemenangan pertama untuk saingan ini.

Selepas ini, Malaysia bakal berdepan dengan Bangladesh pada Khamis untuk perlawanan kedua peringkat Kumpulan B.

 

https://www.utusan.com.my/sukan/2023/05/skuad-hoki-remaja-negara-benam-uzbekistan-8-1

 

Sumber : UTUSAN ONLINE

 

 

Tarikh Input: 24/05/2023 | Kemaskini: 24/05/2023 | m_rizal

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXFCRA5~