Skuad Hoki Remaja Perlu Bangkit Segera | AKADEMI SUKAN
» BERITA » Skuad Hoki Remaja Perlu Bangkit Segera

Skuad Hoki Remaja Perlu Bangkit Segera

Aksi Malaysia (putih) dan Korea Selatan (biru) pada penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Remaja Asia 2023. Foto: Ihsan AHF

 

KUALA LUMPUR: Skuad hoki remaja kebangsaan memperoleh pengalaman berharga menjelang kempen Piala Dunia Remaja di Kuala Lumpur, Disember ini selepas menamatkan Piala Remaja Asia di tempat keempat keseluruhan, semalam.

Pasukan bimbingan Muhammad Amin Rahim menamatkan kempen Piala Remaja Asia 2023 yang berlangsung di Kompleks Sukan Salalah, Oman di tempat keempat selepas tewas 1-2 di tangan Korea Selatan dalam penentuan tempat ketiga dan keempat.

Walaupun kecewa dengan berkenaan, Amin tetap memberikan pujian kepada barisan pemain yang mengharungi kejohanan 'tanpa rehat panjang' selepas menghadiahkan pingat emas buat kontinjen negara di Sukan SEA Kemboja.

"Semestinya kecewa dan sedih dengan kekalahan ini tapi kena terima dan lihat balik kelemahan, kesilapan dilakukan pada perlawanan ini," kata Amin. "Kita kena terus bergerak ke hadapan untuk kejohanan seterusnya.

"Namun dalam masa sama, saya memuji barisan pemain kerana sudah cuba sehabis baik terutama dalam tempoh sebulan ini, mereka perlu mengharungi Sukan SEA dan juga kejohanan Piala Remaja Asia.

Skuad negara memulakan kempen di Oman dengan positif, meraih kemenangan dalam setiap perlawanan peringkat kumpulan namun tewas di tangan Pakistan di separuh akhir dan Korea Selatan untuk aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.

"Banyak yang elemen yang barisan kejurulatihan kenalpasti terutama sekali dari aspek 'strength' dan conditioning' serta aspek kecergasan fizikal kerana ini adalah elemen yang penting dalam hoki moden ketika ini.

"Saya harap pemain dapat belajar sesuatu di kejohanan ini dengan melihat semula kelemahan individu serta pasukan. Saya mahu pemain bersedia mengharungi fasa baharu selepas ini yang mana kita akan lebih memberikan tumpuan kepada aspek fizikal," kata Amin.

Untuk rekod, penamat tempat keempat itu secara tidak langsung mengulangi pencapaian yang pernah diraih negara pada 1988 dan 2004, masing-masing di Karachi, Pakistan.

Pencapaian terbaik Malaysia adalah pada edisi 2012 ketika menjadi tuan rumah dengan menewaskan Pakistan 2-1 di Melaka.

 

https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2023/06/1109260/skuad-hoki-remaja-perlu-bangkit-segera

 

Sumber : bharian

Tarikh Input: 02/06/2023 | Kemaskini: 02/06/2023 | m_rizal

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXFCKAq~