Skuad Hoki Tepati Status | AKADEMI SUKAN
» BERITA » Skuad Hoki Tepati Status

Skuad Hoki Tepati Status

Phnom Penh: Skuad hoki lelaki negara berjaya menghadirkan pingat emas pertama negara dalam sukan itu apabila menewaskan Singapura 3-0 dalam aksi final sebentar tadi.

Pada aksi di Stadium Nasional Morodok Techo, Malaysia yang turun selaku pasukan pilihan bermula garang apabila berjaya mendapat pukulan sudut penalti pada awal permainan namun ketangkasan penjaga gol singapura Wee Wei Xuan menafikan percubaan pemain negara.

Malaysia sekali lagi berpeluang membuka tirai jaringan apabila dihadiahkan dua lagi pukulan sudut penalti pada minit kedua dan kelima oleh pengadil namun gagal disempurnakan sekaligus menyaksikan pasukan negara terikat tanpa jaringan pada suku pertama.

Memasuki suku kedua, Malaysia dilihat meningkatkan tempo perlawanan bagi mencari jaringan pertama dan ia nyata berhasil apabila mendapat satu lagi pukulan sudut penalti pada minit ke-16.

Pukulan sudut penalti keempat buat pasukan negara itu nyata memberi tuah apabila disempurnakan Muhammad Amirul Hamizan Azahar menewaskan Wei Xuan sekaligus menyaksikan pasukan kendalian Muhamad Amin Rahim mendahului 1-0 pada separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, Singapura dilihat memperkemaskan corak permainan bagi menyamakan kedudukan.

Bagaimanapun, keasyikan pasukan kendalian Krishnan Viajyan itu dihukum pasukan negara apabila mendapatkan penalti strok selepas pemain Malaysia, Shahmie Irfan Suhaimi dikasari didalam kawasan D.

Kelebihan itu nyata digunakan sebaiknya apabila Amirul hamizan tidak berdepan masalah sekali lagi menewaskan Wei Xuan pada minit ke-38 sekaligus meletakkan Malaysia didepan dengan kelebihan dua jaringan tamat suku ketiga.

Memasuki suku ketiga, Malaysia terus menambah derita Singapura apabila mendapatkan gol ketiga menerusi gol padang Alfarico Lance Liau Jr selang tiga minit perlawanan bermula.

Singapura mendapat beberapa peluang untuk merapatkan jurang namun dua pukulan sudut penalti yang diraih pada suku keempat gagal disempurnakan sekaligus menyaksikan Malaysia memenangi perlawanan dengan keputusan akhir 3-0.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia mengekalkan pingat emas yang dimenangi pada edisi 2017 di Kuala Lumpur selepas hoki padang tidak dipertandingkan pada 2019 di Filipina dan Hanoi 2021.

 

https://www.hmetro.com.my/arena/hoki/2023/05/967537/skuad-hoki-tepati-status

 

Sumber : hmetro

Tarikh Input: 17/05/2023 | Kemaskini: 17/05/2023 | m_rizal

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXFCJAK~