Skuad Hoki Wanita Bedal Indonesia | AKADEMI SUKAN
» BERITA » Skuad hoki wanita bedal Indonesia

Skuad hoki wanita bedal Indonesia

Phnom Penh: Skuad hoki padang wanita negara mengesahkan slot di pentas final selepas membenam Indonesia 6-0 di padang hoki Kompleks Sukan Morodok Techo, hari ini.

Tampil dengan misi memulihkan maruah yang sudah tercalar, barisan anak buah Mohd Nasihin Nubli Ibrahim tidak berhadapan masalah berada di hadapan seawal minit kedua menerusi jaringan padang Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad.

 

Beraksi di bawah terik matahari, pasukan negara terus menggandakan asakan seterusnya dan menambah jaringan menerusi pukulan stroke penalti yang disempurnakan Shakirah Zulkifli pada minit kesembilan sebelum Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin menambah derita Indonesia di minit 36.

Pasukan negara seolah mahu membalas dendam terhadap kekalahan skuad hoki dalam dewan baru-baru ini, apabila mereka terus mencetak tiga gol lagi masing-masing menerusi Nuramirah Nur Afiqah, Khairunnisa Ayuni dan Nur Afiqah Syahzani Azhar.

 

Sementara itu, Mohd Nasihin berkata, skuad negara tidak boleh terlalu gembira selepas menumpaskan Indonesia berikutan perjuangan mereka belum lagi selesai dalam usaha meraih emas di temasya dwitahunan ini.

"Kami memang menjangkakan Indonesia akan bermain secara berkampung di dalam kawasan "D" mereka. Bagaimanapun peringatan sudah diberikan kepada pemain untuk tidak kelam kabut dalam kawasan gol lawan dan tenang mencari peluang menjaringkan gol.

"Untuk aksi final esok, strategi kedua-dua pasukan pastinya sudah diketahui namun kami akan mengubah taktikal terbaik untuk final.

"Saya amat berharap pemain akan mencurahkan segalanya pada aksi terakhir esok kerana ia adalah perlawanan yang paling dinantikan oleh semua," katanya.

Mengikut rekod, Malaysia akan bertemu Thailand di final selepas skuad Gajah Putih itu mengesahkan kedudukan di tempat kedua walaupun tewas kepada Singapura 0-1 pada pertemuan terakhir sebentar tadi.

 

https://www.hmetro.com.my/arena/hoki/2023/05/967223/skuad-hoki-wanita-bedal-indonesia

 

Sumber : hmetro

Tarikh Input: 16/05/2023 | Kemaskini: 16/05/2023 | m_rizal

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXFCOAQ~