Skuad Hoki Wanita Hampiri Emas | AKADEMI SUKAN
» BERITA » Skuad Hoki Wanita Hampiri Emas

Skuad Hoki Wanita Hampiri Emas

PHNOM PENH: Skuad hoki padang wanita negara mengesahkan tiket ke final selepas membenam Indonesia 6-0 di padang hoki Kompleks Sukan Morodok Techo, hari ini.

Tampil dengan misi memulihkan maruah yang sudah tercalar, barisan anak buah Mohd Nasihin Nubli Ibrahim tidak berhadapan masalah berada di depan seawal minit kedua menerusi jaringan padang Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad.

 

Beraksi di bawah terik matahari, pasukan negara terus menggandakan asakan seterusnya menambah jaringan menerusi pukulan stroke penalti yang disempurnakan Shakirah Zulkifli pada minit kesembilan sebelum Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin menambah derita Indonesia pada minit 36.

Pasukan negara seolah mahu membalas dendam terhadap kekalahan skuad hoki dalam dewan baru-baru ini, apabila mereka terus mencetak tiga gol lagi masing-masing menerusi Nuramirah Nur Afiqah, Khairunnisa Ayuni dan Nur Afiqah Syahzani Azhar.

Mohd Nasihin berkata, skuad negara tidak boleh terlalu meraikan kemenangan ke atas Indonesia kerana perjuangan mereka belum lagi selesai dalam usaha meraih emas di temasya dwitahunan ini.

"Kami memang menjangkakan Indonesia akan bermain secara berkampung di dalam kawasan "D" mereka. Bagaimanapun, peringatan sudah diberikan kepada pemain untuk tidak kelam kabut dalam kawasan gol lawan dan tenang mencari peluang menjaringkan gol.

"Untuk aksi final esok, strategi kedua-dua pasukan pastinya sudah diketahui namun kami akan mengubah taktikal terbaik untuk final.

"Saya amat berharap pemain akan mencurahkan segalanya pada aksi terakhir esok kerana ia adalah perlawanan yang paling dinantikan oleh semua,"katanya.

Malaysia akan bertemu Thailand di final selepas skuad Gajah Putih itu mengesahkan kedudukan di tempat kedua walaupun tewas kepada Singapura 0-1 pada aksi terakhir pusingan 'round robin' hari ini.

 

https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2023/05/1101589/skuad-hoki-wanita-hampiri-emas

 

Sumber : bharian

 

Tarikh Input: 16/05/2023 | Kemaskini: 16/05/2023 | m_rizal

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
WXFCRAE~