Young Tigress Lepas Geram Belasah Uzbekistan | AKADEMI SUKAN
» BERITA » Young Tigress Lepas Geram Belasah Uzbekistan

Young Tigress Lepas Geram Belasah Uzbekistan

ZATI dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan selepas meledak hatrik ketika membelasah Uzbekistan 12-0 pada aksi Piala Remaja Asia di Kakamigahara hari ini. - AHF

 

KUALA LUMPUR – Skuad hoki remaja wanita negara tiada masalah kembali berada pada landasan kemenangan selepas berpesta gol membelasah Uzbekistan 12-0 pada aksi ketiga Kumpulan A Piala Remaja Asia hari ini.

Kemenangan di Stadium Hoki Kawasaki Heavy Industries, Kakamigahara, Jepun itu kembali menghidupkan peluang buat Young Tigress untuk melangkah ke separuh akhir.

Harapan menjadi lebih cerah selepas pencabar terdekat negara, Korea Selatan gagal menewaskan pilihan utama kejohanan, India apabila terikat 2-2 dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung hari ini.

Ia menyaksikan skuad negara kini berdepan misi wajib menang ke atas Korea Selatan pada aksi terakhir Khamis ini untuk mara ke separuh akhir sebagai dua pasukan terbaik Kumpulan A.

Ketua jurulatih skuad negara, Lailin Abu Hassan gembira dengan persembahan anak-anak buahnya yang kini hanya ketinggalan satu mata di belakang Korea Selatan, namun memiliki kelebihan dari segi jumlah perbezaan gol.

KIRANDEEP berjaya menjaringkan dua gol dalam kemenangan 12-0 ke atas Uzbekistan pada aksi Piala Remaja Asia di Kakamigahara hari ini. – AHF

 

“Saya berpuas hati dengan 12 gol yang telah dihasilkan kerana ia merapatkan jarak perbezaan gol dengan Korea Selatan untuk membuka laluan ke separuh akhir nanti.

“Saya melihat masih ada kelemahan dari segi asas hoki dan taktikal yang perlu diperbaiki menjelang aksi penting bertemu Korea Selatan.

“Saya berharap pemain cepat menyesuaikan diri dengan taktikal akan dirancang kerana Korea Selatan antara pasukan pilihan dan berpeluang untuk melayakkan diri ke separuh akhir,” katanya.

Dalam aksi menentang Uzbekistan hari ini, dua pemain, Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri dan Zati Alyani Muhamad Zubir masing-masing berjaya meledak hatrik buat skuad Young Tigress.

Kirandeep Kaur Gurdip Singh dan Norshafiqha Ishak pula masing-masing menjaringkan dua gol selain satu jaringan daripada Khairunnisa Ayuni Mohd. Sharuddin serta Nur Shamine Azureen Mohammed Badusha melengkapkan kemenangan besar skuad negara. – KOSMO! ONLINE

 

https://www.kosmo.com.my/2023/06/06/young-tigress-lepas-geram-belasah-uzbekistan

 

Sumber : KOSMO ONLINE

Tarikh Input: 07/06/2023 | Kemaskini: 09/06/2023 | m_rizal

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXFCSAZ~