- | SPORTS ACADEMY
» NEWS

17 DISEMBER 2022 | KUALA LUMPUR: Atlet lempar cakera, Kamal Farhan A Rahman meraih tonik berharga dalam persiapannya memburu kilauan pingat pada temasya Sukan SEA Kemboja yang dijadualkan Mei tahun depan.

Kamal, 21, berjaya meraih emas dalam acara yang baharu disertainya setahun lalu itu pada Kejohanan Olahraga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022 (Grand Final) yang di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini dengan jarak 46.16 meter (m).

Begitupun, pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang Pendidikan Jasmani itu berkata, catatan dilakukannya itu bukan yang terbaiknya dengan dia pernah melakukan 50.92m pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022, Julai lalu.

"Untuk kejohanan ini, saya tak ada buat persiapan besar kerana sekarang ini berada dalam fasa 'conditioning' iaitu untuk perbaiki perkara-perkara kecil yang saya tak dapat lakukan ketika di kejohanan besar.

"Sekarang ini lebih fokus kepada Sukan SEA di Kemboja tahun depan," katanya yang layak ke Sukan SEA atas tiket kategori A selepas mencatatkan 50.92m pada AUG itu.

Dalam menuju sasarannya itu, Kamal berharap dapat menyertai kejohanan dan latihan di luar negara sebagai persiapan untuk menghadapi temasya Sukan SEA Kemboja.

"Kalau kejohanan dan latihan, itu adalah dibawah perancangan jurulatih, KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia) dan MSN (Majlis Sukan Negara). Namun memang ada perancangan untuk berlatih di luar negara.

"Selain itu, kejohanan di luar negara itu, sememangnya kena ada kerana catatan peribadi terbaik (PB) saya juga dilakukan di luar negara. Oleh itu, sekiranya MSN dan KOM dapat memberikan peluang, itu sesuatu yang baik," katanya.

 

Date of Input: 19/12/2022 | Updated: 19/12/2022 | rohaida_h

MEDIA SHARING

SPORTS ACADEMY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXEdNAG~