Anas Pecah Rekod, Ungguli Saingan 1,500m Trek Dan Padang Varsity | SPORTS ACADEMY
» NEWS » Anas pecah rekod, ungguli saingan 1,500m Trek dan Padang Varsity

Anas pecah rekod, ungguli saingan 1,500m Trek dan Padang Varsity

Anas (tengah) ketika memenangi acara 1,500m Grand Final Trek dan Padang Varsity di Arena Universiti Malaya (UM), semalam. - Foto ihsan KPT
Anas (tengah) ketika memenangi acara 1,500m Grand Final Trek dan Padang Varsity di Arena Universiti Malaya (UM), semalam. - Foto ihsan KPT

 

Kuala Lumpur: Tempoh dua bulan berguru dengan bekas pelari kebangsaan, Jironi Riduan berjaya mencetuskan impak positif buat atlet Universiti Putra Malaysia (UPM), Anas Ariffin yang memenangi pingat emas acara 1,500 meter (m) Diamond lelaki pada Grand Final Trek dan Padang Varsity di Arena Universiti Malaya (UM), hari ini.

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Lebih membanggakan, Anas yang juga atlet kebangsaan berjaya memecahkan rekod kejohanan dengan catatan 4 minit 05.17 saat (s) untuk memadam rekod lama yang dipegang Amirul Arif Mohd Azri dengan catatan 4:05.47s.

Amirul Arif yang membawa cabaran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kali ini terpaksa berpuas hati mengakhiri saingan di tempat kedua apabila merakam masa 4:06.89s, manakala gangsa menjadi milik Zaiyusri Zainon dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan catatan 4:10.67s.

Menurut, Anas, meskipun baru dua bulan menimba ilmu dengan Jironi yang menjadi jurulatihnya, namun ia bukan satu masalah buatnya menyerap segala ilmu pemenang pingat emas Sukan SEA Naypiydaw 2013 itu, sekali gus dapat memecahkan rekod kejohanan.

"Alhamdulillah, saya rasa sasaran untuk acara ini tercapai, dengan pelarasan dan rentak larian hasil latihan di bawah Jironi membolehkan saya memperoleh catatan masa yang diinginkan.

"Sejak mula berlatih di bawah idola saya ini (Jironi), saya menjadi bersemangat untuk melakukan yang terbaik. Malah dia juga hadir hari ini bagi memberi sokongan kepada saya.

"Saya juga berazam untuk memecahkan rekod kejohanan dalam acara 800m esok baik di separuh akhir mahupun akhir dengan catatan peribadi terbaik saya sekarang ini ialah 1:53s, manakala rekod kejohanan pula yang dilakukan oleh saya sendiri ialah 1:54.95s)," kata pelajar jurusan komunikasi itu.

Sementara itu bagi saingan wanita pula, emas diraih rakan sepasukan Anas, Ainur Shafiqah Azmi dengan catatan 5:48.03s, manakala perak milik wakil Universiti Sains Malaysia (USM), Pung Cheng Hui (5:49.32s) dan gangsa dibawa pulang Margreat Mary Kjohnson dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) (5:51.54s). 

https://www.bharian.com.my/sukan/olahraga/2023/11/1178639/anas-pecah-rekod-ungguli-saingan-1500m-trek-dan-padang-varsity 

Sumber : berita harian online 

Date of Input: 04/12/2023 | Updated: 04/12/2023 | rohaida_h

MEDIA SHARING

SPORTS ACADEMY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXEdFAV~