Erry Mahu Teruskan Legasi Bapa | SPORTS ACADEMY
» NEWS » Erry mahu teruskan legasi bapa

Erry mahu teruskan legasi bapa

Mohamad Erry Hidayat menganggap penantian dan pengorbanannya berbaloi apabila dianugerahkan sebagai Olahragawan Wilayah Persekutuan 2021/2022.

Menurut Erry, dia sebelum ini tercalon sebagai Olahragawan Wilayah Persekutuan sebanyak empat kali, namun dikecewakan oleh atlet yang lebih layak dan menganggap tahun ini adalah rezeki buat dirinya.

Erry berkata, dia percaya anugerah itu menjadi miliknya selepas berjaya meraih pingat perak pada Kejohanan Angkat Berat Asia 2021 dan Sukan Komanwel 2022 Birmingham serta pingat gangsa pada Sukan SEA Vietnam 2022.

“Di Sukan Komanwel, saya berjaya memperbaharui rekod kebangsaan dengan jumlah angkatan 310 kilogram (kg) bagi kategori 73kg. Saya bangga dapat anugerah ini selepas empat kali hanya menjadi calon.

“Saya lakukan yang terbaik pada 2022, berlatih sampai tiada masa cuti. Akhirnya saya berjaya meraih keputusan positif dalam beberapa kejohanan. Tahun ini, saya terus berlatih namun mengalami kecederaan pinggang.

“Sekarang, saya sudah pulih dan kembali menjadi latihan. Anugerah ini, adalah untuk diri sendiri dan ayah saya, saya gembira kerana dapat meneruskan legasinya,” Kata Erry ketika ditemui pemberita.

Kejayaan itu membolehkan Erry membawa pulang hadiah berupa piala pusingan, wang tunai RM8,000 dan juga barangan sukan bernilai RM1,000 yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Badang Wilayah Persekutuan yang juga anak kepada bekas jaguh angkat berat, Hidayat Hamidun itu berkata, dia pada tahun hadapan akan menyertai dua kejohanan utama iaitu kejohanan dunia di Thailand pada April dan Sukan Komanwel di Fiji pada September.

“Untuk kejohanan dunia saya menyasarkan kedudukan terbaik kerana saya ketika ini berada di ranking ke-16 dunia, untuk Sukan Komanwel pula, sudah pasti saya mahu mempertahankan apa yang telah saya menangi sebelum ini,” katanya.

https://www.utusan.com.my/sukan/2023/11/erry-mahu-teruskan-legasi-bapa/

Sumber : utusan online 

Date of Input: 04/12/2023 | Updated: 04/12/2023 | rohaida_h

MEDIA SHARING

SPORTS ACADEMY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXDDIAX~