Pelari Pecut UPM Sapu Bersih Acara Pecut 100m | SPORTS ACADEMY
» NEWS » Pelari pecut UPM sapu bersih acara pecut 100m

Pelari pecut UPM sapu bersih acara pecut 100m

Jonathan Nyepa dan Azreen Nabila ketika menang emas 100 meter Diamond lelaki dan wanita,  Grand Final Trek dan Padang Varsity 2023. - Foto NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Jonathan Nyepa dan Azreen Nabila ketika menang emas 100 meter Diamond lelaki dan wanita, Grand Final Trek dan Padang Varsity 2023. - Foto NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

 

KUALA LUMPUR: Atlet pecut Universiti Putra Malaysia (UPM), Jonathan Nyepa berjaya menebus kekecewaan tahun lalu apabila dinobatkan selaku raja pecut di Grand Final Trek dan Padang Varsity 2023 selepas memenangi pingat emas acara 100 meter (m) Diamond lelaki, hari ini.

Pada aksi final yang berlangsung di Arena Universiti Malaya (UM) itu, Jonathan yang juga pelari kebangsaan merakam masa terpantas dengan catatan 10.66 saat (s).

Dia yang sekadar berpuas hati di tempat kedua pada edisi tahun lalu mengatasi juara bertahan dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Muhammad Fakhrul Abdul Aziz yang kali ini terpaksa akur berada di kedudukan kedua dengan catatan 10.76s.

Pingat gangsa pula menjadi milik pelari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhammad Aqil Yasmin ketiga (10.84s).

"Sasaran utama saya adalah untuk memperbaharui catatan terbaik saya 10.51s dalam kejohanan ini tetapi saya tetap berpuas hati dengan larian hari ini dan berjaya menghadiahkan pingat emas kepada UPM.

"Ini adalah kejohanan terakhir saya tahun ini. Selepas ini saya akan fokus buat persiapan bagi menghadapi saingan tahun depan, saya akan ikut semua perancangan daripada jurulatih," kata Jonathan ketika ditemui selepas aksi final, hari ini.

Sementara itu, saingan 100m Diamond wanita menyaksikan pelari kebangsaan, Azreen Nabila Alias yang turut mewakili UPM menepati ramalan utnuk dinobatkan sebagai ratu pecut yang baharu selepas mengungguli aksi final dengan catatan 12.37s.

Dia mengatasi rakan sepasukan Nor Sarah Adi yang mengakhiri perlumbaan di tempat kedua dengan catatan 12.62s manakala pelari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Chelsea Cassiopea Evali Bopulas ketiga (12.70s).

"Saya gembira kerana ini adalah kemenangan pertama saya dalam Grand Final Varsity. Tahun lalu saya di tempat kedua di belakang Zaidatul Husniah Zulkifli.

"Namun, dari segi catatan masa, tahun lalu lepas lebih baik kerana ada persaingan daripada Zaidatul. Persaingan tahun ini pula agak kurang kerana Chelsea daripada acara 400m manakala Sarah acara lompat bergalah," katanya.

https://www.bharian.com.my/sukan/olahraga/2023/11/1178980/pelari-pecut-upm-sapu-bersih-acara-pecut-100m

Sumber : berita harian online 

Date of Input: 04/12/2023 | Updated: 04/12/2023 | rohaida_h

MEDIA SHARING

SPORTS ACADEMY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXEdPAQ~