Queenie Terus Kekal Ratu Lempar Cakera | SPORTS ACADEMY
» NEWS » Queenie terus kekal ratu lempar cakera

Queenie terus kekal ratu lempar cakera

Queenie (tengah) mengungguli acara lempar cakera Diamond wanita Grand Final Trek dan Padang Varsity di Arena Universiti Malaya (UM). - Foto ihsan KPT
Queenie (tengah) mengungguli acara lempar cakera Diamond wanita Grand Final Trek dan Padang Varsity di Arena Universiti Malaya (UM). - Foto ihsan KPT

 

KUALA LUMPUR: Tiada atlet mampu mencabar penguasaan Queenie Ting Kung Nie selepas atlet lempar cakera kebangsaan itu mengungguli acara lempar cakera Diamond wanita Grand Final Trek dan Padang Varsity di Arena Universiti Malaya (UM), hari ini.

 

Atlet mewakili Universiti Putra Malaysia (UPM) itu melakukan catatan 41.29 meter (m) untuk mengetepikan lima lagi pencabar lain sekali gus meraih pingat emas pada Grand Final kali ini.

Bagaimanapun, catatan kali ini jauh daripada rekod kebangsaan miliknya yang melakukan 52.77m pada Grand Final Kejohanan Olahraga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tahun lalu.

Pingat perak dimenangi rakan seuniversiti Queenie, Nani Sahirah Maryata dengan catatan 36.63m sementara pingat gangsa menjadi milik atlet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Nor Syazwani Rosman dengan 33.84m.

Atlet berusia 26 tahun itu berkata, dia gembira selepas berjaya mempertahankan emas yang dimenanginya pada tahun lalu untuk UPM meskipun sedang mengharungi cuti bagi musim ini.

"Sebenarnya saya sedang 'off season' jadi keputusan yang dicatat hari ini (semalam) adalah kerana tiada latihan yang betul kerana saya sudah berehat selama sebulan.

"Tetapi disebabkan mahu bawa nama UPM, jadi saya habiskan juga tanggungjawab untuk tahun ini di Grand Final untuk tahun ini. Saya gembira mempertahankan emas ini untuk UPM," katanya.

Sementara itu, bagi acara lempar cakera Platinum yang berlangsung sebelah pagi, atlet Universiti Sains Malaysia (USM), Nur Syafiqah Syazlinda Abdul Khalid meraih pingat emas dengan catatan 21.63m.

Pingat perak menjadi milik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Athirah Nadhirah Ahmad Nazrul dengan 17.41m sementara pingat gangsa dimenangi Nur Insyirah Ahmad Fadzli (UKM) dengan 16.75m.

Sebagai rekod, pemenang pingat emas membawa pulang RM200 dan medal sementara pingat perak dan pingat gangsa masing-masing membawa pulang RM150 dan RM100 serta medal.

https://www.bharian.com.my/sukan/olahraga/2023/11/1178270/queenie-terus-kekal-ratu-lempar-cakera 

Sumber : berita harian online 

Date of Input: 04/12/2023 | Updated: 04/12/2023 | rohaida_h

MEDIA SHARING

SPORTS ACADEMY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXEdKAJ~