UPM, UiTM Ungguli Varsity Sepaktakraw League 2023 | SPORTS ACADEMY
» NEWS » UPM, UiTM ungguli Varsity Sepaktakraw League 2023

UPM, UiTM ungguli Varsity Sepaktakraw League 2023

SHAH ALAM: Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) masing-masing mengungguli acara double dan regu lelaki kejohanan Varsity Sepaktakraw League 2023 yang melabuhkan tirainya di Kompleks Pusat Sukan UiTM, hari ini.

Dalam perlawanan final double, pasukan UPM muncul juara selepas menewaskan wakil tuan rumah, UiTM 21-23, 21-16, 21-13.

UiTM bagaimanapun enggan mengalah di laman sendiri apabila bangkit memberikan saingan sengit dalam acara regu sebelum menewaskan UPM 21-18, 17-21, 22-20 untuk muncul juara.

Meskipun berbaki kira-kira enam bulan lagi sebelum Sukan Universiti ASEAN (AUG) membuka tirainya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sudah 'membuka langkah' awal apabila mengumumkan 30 nama dalam senarai panjang pemain bagi menghadapi temasya di Malang dan Surabaya, Indonesia, Jun nanti.

Senarai panjang itu dinilai menerusi prestasi pemain yang mengambil bahagian pada kejohanan Varsity Sepaktakraw League 2023 itu.

Menurut Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan Bahagian Perancangan Strategik KPT, Datuk Pekan Ramli, langkah ini diambil sebagai persiapan awal bagi memberi 'cabaran' kepada gergasi sepak takraw, Thailand selepas pasukan kecundang di final AUG 2022 di Ubon Ratchathani, Ogos lalu.

"Kita mencari bakat daripada sini (Varsity Sepaktakraw League 2023). Kita persiapkan mereka untuk hadapi cabaran di AUG di Malang dan Surabaya pada Jun ini.

"Kita kalah kepada Thailand di final AUG di Ubon Ratchathani dan harap kita dapat memberikan saingan kuat kepada Thailand nanti," kata Pekan kepada media selepas perlawanan kemuncak Grand Final Varsity Sepaktakraw League 2023 di Kompleks Pusat Sukan UiTM.

Pekan berkata, satu penanda aras yang sangat positif terutama selepas pihaknya menyertai Sepak Takraw League (STL) dan ia sudah pasti menyemarakkan semangat pemain sepak takraw yang ada di IPT.

"Dengan kesinambungan menerusi Varsity Sepaktakraw League ini, kita nampak penyertaan yang memberangsangkan dan dapat lihat bakat baharu yang walaupun belum mewakili pasukan kebangsaan, tetapi ada potensi (ditunjukkan pemain)," kata Pekan.

https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2023/12/1184701/upm-uitm-ungguli-varsity-sepaktakraw-league-2023

Sumber : berita harian online

 
 

Date of Input: 04/12/2023 | Updated: 04/12/2023 | rohaida_h

MEDIA SHARING

SPORTS ACADEMY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXEdDAq~