ATLET DAN RAMADHAN | SPORTS ACADEMY
» ARTICLE » ATLET DAN RAMADHAN

ATLET DAN RAMADHAN

Bulan Ramadhan ialah bulan kesembilan dalam kalendar Islam dimana umatnya yang dewasa dan berkemampuan dari segi kesihatan diwajibkan berpuasa dari subuh hingga terbenam matahari. Tempoh puasa ini melibatkan menahan diri daripada mengambil makanan, air dan melakukan perkara-perkara lain yang boleh membatalkan puasa.

Bagi seorang atlet elit, sesi latihan dan pertandingan dijadualkan sepanjang tahun. Disebabkan kalendar islam adalah berasaskan kalendar lunar, bulan Ramadhan akan tiba pada tempoh dan musim yang berbeza pada setiap tahun. Ini menjadikan atlet yang beragama Islam akan melaluinya pada masa yang berbeza sama ada pada musim latihan, pertandingan ataupun pada musim pemulihan. Perkara ini akan menjadi satu cabaran bagi atlet yang berpuasa bagi mengekalkan prestasi yang terbaik sewaktu berpuasa.

Cabaran utama bagi atlet yang berpuasa ialah untuk mengekalkan status tenaga dalam badan dan tahap hidrasi. Sepanjang Ramadhan, pengambilan makanan dan minuman adalah tidak dihalang sewaktu malam, tetapi disebabkan tempoh masa yang terhad, kekerapan pengambilan makanan harian akan berkurang kerana tidak dapat dilakukan pada waktu siang. Ini akan menyebabkan pengambilan tenaga, jisim badan dan status penghidratan mungkin terjejas secara negatif pada bulan ini walaupun didapati komposisi platelet dalam darah dan fungsi imun tidak terjejas. Kajian juga telah menunjukkan bahawa kehilangan air secara sederhana akan memberi kesan terhadap prestasi senaman yang melibatkan enduran, tetapi tidak kepada prestasi senaman yang melibatkan sistem anaerobic.

Selain memberi kesan kepada jumlah makanan yang diambil, bulan Ramadhan juga akan menyebabkan berlaku perubahan tingkah laku dalam masa pengambilan makanan dimana makanan akan diambil pada waktu awal pagi (bersahur) dan lewat petang (berbuka). Perubahan tingkah laku ini juga akan memberi kesan kepada pola tidur dan jumlah tidur atlet. Perubahan terhadap pola tidur ini mungkin tidak akan memberi kesan secara khusus kepada prestasi atlet, tetapi ia akan mengganggu proses rehat dan pemulihan atlet yang terlibat dalam latihan atau pertandingan berintensiti tinggi.

Justeru, para atlet dan jurulatih perlulah menyusun jadual dan strategi bagi menghadapi bulan Ramadhan dan jadual atlet yang padat supaya atlet dapat mengekalkan prestasi disamping dapat memenuhi tuntutan berpuasa dalam bulan Ramadhan sebagai umat Islam.

Date of Input: 24/03/2023 | Updated: 24/03/2023 | rohaida_h

MEDIA SHARING

SPORTS ACADEMY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXEaIAi~