DEFINISI DAN INTERPRETASI “SAFE SPORT” | AKADEMI SUKAN
» ARTIKEL » DEFINISI DAN INTERPRETASI “SAFE SPORT”

DEFINISI DAN INTERPRETASI “SAFE SPORT”

Oleh: Syarifah Fathynah Binti Syed Shiekh (Pusat Knowledge Management)

Rangkuman definisi safe sport daripada pelbagai negara seperti United States, United Kingdom, Kanada dan lain-lain adalah merujuk kepada persekitaran sukan yang bebas daripada kemudaratan (harm-free sport environments). Jika dilihat secara spesifik, terma ini mempunyai konteks yang berlainan tertakluk kepada kesesuaian negara, budaya atau masyarakat berkaitan. Kumpulan fokus yang sering dikaitkan dalam kajian serta tindakan safe sports adalah atlet dewasa, atlet kanak-kanak, atlet kurang upaya, jurulatih, profesional kesihatan dan pentadbir sukan. Perkembangan agenda safe sport meningkat dengan drastik selepas beberapa kes klasifikasi tinggi berlaku seperti kes rogol atlet terjun negara oleh jurulatih (2017), kes rogol atlet gimnastik US oleh profesional kesihatan (2018) dan seorang jurulatih bola sepak (kanak-kanak) UK yang merupakan seorang pedofilia (2018).

Kewujudan safe sport ini adalah kerana berlakunya kes-kes gangguan seksual dan penderaan. Namun, daripada perkembangan semasa dan evolusi sukan itu sendiri, konteks safe sport adalah tidak terhad kepada beberapa aspek sahaja. Dalam sebuah kerangka kajian untuk mendapatkan interpretasi safe sport daripada pelbagai pemegang taruh (atlet, jurulatih, pentadbir sukan dan penyelidik), safe sport dibahagikan kepada tiga dimensi iaitu i) Mengoptimum sukan (optimising sport), ii) Perhubungan yang selamat (relational safety) dan iii) Persekitaran dan fizikal yang selamat (environmental & physical safety).

Berdasarkan kajian tersebut serta naratif penulis, pertama, aspek persekitaran dan fizikal yang selamat (pencegahan bahaya fizikal – anggota badan) perlu difokuskan. Sebagai contoh penekanan kepada etika dan pengetahuan jurulatih dalam mengendalikan latihan atau seorang prosesional kesihatan dalam mengendalikan sesi rawatan.

Disarankan agar jurulatih dan professional kesihatan diwajibkan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan pengiktirafan daripada badan-badan yang berkaitan.

Kedua, aspek perhubungan yang selamat (pencegahan salah laku) dimana kesedaran semua pihak untuk kenal pasti dan bertindak terhadap salah laku. Contoh yang boleh dilakukan seperti menetapkan amalan tiadanya kejurulatihan one-on-one agar tiada peluang berlakunya hubungan profesional melebihi batasan. Di Kanada, semua jurulatih perlu berpegang kepada polisi rules of two iaitu larangan menjalankan sesi latihan (antara jurulatih dan atlet) secara berdua-duaan.

Disarankan agar semua pihak memainkan peranan dan menjalankan inisiatif pencegahan salah laku. Konteks salah laku ini adalah gangguan seksual, penderaan fizikal dan psikologi, penindasan, pengabaian, buli serta antun (grooming).

Ketiga, fokus juga perlu diberikan ke arah usaha mengoptimumkan pengalaman sukan seperti keterbukaan peluang kepada semua, adil dan menyeronokkan kerana secara asasnya sukan merupakan medium bagi pembentukan individu dan pembangunan sosial.

Disarankan agar promosi sukan diteruskan seiring dengan sasaran negara untuk meningkatkan budaya bersukan di kalangan masyarakat, maka perlu juga diterapkan elemen safe sports iaitu budaya menghormati dan nilai semangat kesukanan.

Sumber:

Gurgis JJ, Kerr G., Battaglia A. (2023). Exploring Stakeholders’ Interpretations of Safe Sport. Journal of Sport and Social Issues. Vol. 47(1) 75–97

Gurgis JJ, Kerr G. (2021). Sport Administrators’ Perspectives on Advancing Safe Sport. Frontiers in Sports and Active Living.  Vol. 3

Sharifah Syahirah, S.S. Syarifah Fathynah, Wan Puspa Melati, Fadilah Puteh, Bahiyah Abdul Hamid and Habibah Ismail. (2020). Sexual Harassment in Sports: Risk Factors Analysis from A Malaysian Perspective. International Journal of Psychosocial Rehabilitation, Vol. 24, Issue 03

 

SUMBER: https://isn.gov.my/definisi-dan-interpetasi-safe-sport/

Tarikh Input: 13/12/2023 | Kemaskini: 13/12/2023 | rohaida_h

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXEXTAh~