384 Atlet Bersaing Di Kuantan | AKADEMI SUKAN
» BERITA » 384 Atlet Bersaing Di Kuantan

384 Atlet Bersaing Di Kuantan

Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan Bahagian Perancangan Strategik KPT, Datuk Pekan Ramli (kiri) pada majlis

penyampaian hadiah Kejohanan Varsity Track & Field (VTF) 2023 Sirkit Kedua di Stadium Darul Makmur. Foto KPT

 

 

KUANTAN: Seramai 384 atlet mewakili 30 Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan bersaing dalam Kejohanan Varsity Track & Field (VTF) 2023 Sirkit Kedua di Stadium Darul Makmur, di sini.

Kejohanan selama tiga hari bermula semalam dianjurkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) membabitkan 42 acara yang dipertandingkan, masing-masing 20 acara lelaki dan wanita termasuk dua acara campuran.

Pada Sirkit Pertama Mac lalu di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul juara selepas meraih 24 pingat emas, 13 perak dan lapan gangsa.

Naib johan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan 4 emas, 8 perak dan 7 gangsa manakala Poli Malaysia ketiga (3 emas).

Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan Bahagian Perancangan Strategik KPT, Datuk Pekan Ramli berkata, VTF antara ruang terbaik buat atlet menunjukkan kebolehan dan prestasi dalam usaha menobatkan sukan olahraga IPT dan negara.

Katanya, kejohanan VTF 2023 adalah penjenamaan semula kepada Kejohanan Olahraga Institusi Pendidikan Tinggi yang berlangsung pada 2022.

Menurutnya, empat sirkit kejohanan VTF diadakan mengikut zon iaitu zon selatan (VTF 1), zon timur (VTF 2), zon utara (VTF3) di Stadium Batu Kawan Pulau Pinang dan Grand Final pada Oktober di UPSI.

"Kejohanan ini yang mendapat pengiktirafan Kesatuan Olahraga Malaysia menjadi medium terbaik kepada atlet IPT untuk menyerlahkan bakat masing-masing.

"Pada Sirkit Pertama banyak rekod baharu berjaya dicipta antaranya dalam acara lompat jauh wanita, merejam lembing wanita, lempar cakera lelaki, 10,000 meter lelaki dan baling tukul besi lelaki," katanya.

Sementara itu, atlet baling tukul besi Universiti Putra Malaysia (UPM) yang juga atlet negara, Sadat Maryuqi Ajisan meneruskan prestasi terbaiknya apabila meraih pingat emas dengan catatan 61.04 meter (m), menewaskan rakan sepasukan, Muhammad Aiman Hakim Jamal (UPM) dengan cacatan 41.66m dan ketiga David John Mernika dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan balingan 28.99m.

"Catatan terbaik saya ialah 61.90m, namun kali ini jaraknya agak jauh menurun. Bagaimanapun saya berpuas hati dapat menyumbang pingat emas untuk UPM.

"Keadaan cuaca yang panas sedikit menjejaskan persembahan saya," katanya yang mewakili negara pada Sukan SEA Kemboja, baru-baru ini.

 

https://www.bharian.com.my/sukan/olahraga/2023/05/1106761/384-atlet-bersaing-di-kuantan

 

Sumber : bharian

Tarikh Input: 30/05/2023 | Kemaskini: 30/05/2023 | m_rizal

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXFCQAJ~