Ainaa Amani Pasrah Beraya Di Perantauan | AKADEMI SUKAN
» BERITA » Ainaa Amani Pasrah Beraya Di Perantauan

Ainaa Amani Pasrah Beraya Di Perantauan

Kuala Lumpur: Pemain skuasy wanita negara, Noor Ainaa Amani Ampandi mengharapkan segala keringat dicurah termasuk komitmen 100 peratus ketika sesi latihan bakal membuahkan hasil dan kejayaan positif pada penyertaan di peringkat antarabangsa.

Noor Ainaa Amani terpaksa melupakan sambutan Aidilfitri pada tahun ini apabila perlu memberikan komitmen kepada dua kejohanan bakal disertainya di Amerika Syarikat (AS), bulan ini.

Bintang skuasy berusia 21 tahun itu berkata, dia dijadualkan mengharungi Cabaran Kinetic Orange Ball 30K di Boynton Beach bermula 19 hingga 23 April ini sebelum menyertai RC Pro Series 2023 di St Louis, tiga hari kemudian.

"Saya pernah beraya di perantauan sekali ketika masih di peringkat remaja kerana ada kejohanan di Hong Kong.

"Mestilah sedih tak dapat beraya bersama keluarga, tetapi saya ada komitmen dengan skuasy.

"Saya berharap dapat buat sehabis baik setelah berusaha penat berlatih selama ini untuk berada pada tahap sekarang. Insya-Allah ada rezeki saya raya tahun ini," katanya.

Pemain berasal dari Kuala Lumpur itu masih lagi segar dengan kejayaan layak buat kali pertama ke Kejohanan Skuasy Dunia yang akan diadakan di Chicago dari 3 hingga 11 Mei depan.

"Perasaan luar biasa kerana saya datang ke sini tanpa sebarang tekanan walaupun tahu akan berdepan pemain pilihan.

"Rasa seronok dapat bermain ke peringkat dunia buat kali pertama," katanya.

Selain Ainaa Amani, turut layak ke Kejohanan Skuasy Dunia adalah Aira Azman, Yasshmita Jadishkumar, S Sivasangari, Rachel Arnold dan Aifa Azman.

 

https://www.hmetro.com.my/arena/lain/2023/04/958052/ainaa-amani-pasrah-beraya-di-perantauan

 

Sumber : Harian Metro

Tarikh Input: 18/04/2023 | Kemaskini: 05/05/2023 | m_rizal

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXFCKAw~