Amin Kecewa Menang Tipis Dengan Oman | AKADEMI SUKAN
» BERITA » Amin Kecewa Menang Tipis Dengan Oman

Amin Kecewa Menang Tipis Dengan Oman

AKSI pemain skuad hoki remaja negara (jersi kuning) ketika menang tipis 1-0 ke atas Oman, hari ini. FOTO AHF

 

Kuala Lumpur: Skuad hoki remaja negara menamatkan kempen peringkat Kumpulan B Piala Remaja Asia dengan kemenangan 1-0 ke atas Oman, pagi tadi.

Bagaimanapun, pengendalinya, Muhammad Amin Rahim kurang berpuas hati kerana persembahan dipamerkan di Kompleks Sukan Salalah, Oman itu tidak menyamai prestasi ditunjukkan pada tiga perlawanan sebelum ini ketika mencatat keputusan lebih besar ke atas Uzbekistan (8-1), Bangladesh (5-1) dan Korea Selatan (3-1).

"Pemain perlu segera bangkit menjelang pertembungan separuh akhir dengan Pakistan (Khamis) bagi meneruskan rentak kemenangan yang dilakar sebelum ini," katanya selepas tamat perlawanan.

Ujarnya, objektif mereka hari ini adalah dengan mencatat kemenangan, tetapi secara keseluruhan beliau kurang berpuas hati dengan persembahan pemain.

 

"Kami banyak melepaskan peluang jaringan padang dan pukulan sudut penalti, nampak pemain agak sambil lewa dan kalau sikap ini berterusan, kami akan hadapi masalah untuk perlawanan separuh akhir.

"Dari awal, kami tahu ada peluang untuk kekal dalam kelompok teratas dan pemain sudah buktikannya pada tiga perlawanan sebelum ini.

"Walaupun hari ini kami menang, tetapi saya tak puas hati daripada persembahan," katanya.

Dalam perlawanan terakhir itu, Shahmie Irfan Suhaimi muncul wira apabila menyempurnakan pukul sudut penalti pada minit ke-48 untuk menghadiahkan mata ke-12 pasukan remaja negara.

Amin berharap prestasi pada tiga perlawanan sebelum ini diteruskan dan pemain tidak terbawa-bawa dengan persembahan hari ini.

Pakistan menamatkan saingan di tempat kedua Kumpulan A apabila berkongsi 10 mata bersama India yang mengungguli carta teratas kumpulan menerusi perbezaan gol.

"Untuk menentang Pakistan pada separuh akhir, kami mempunyai dua hari rehat.

"Kami akan gunakannya untuk proses pemulihan dan analisis kekuatan dan kelemahan Pakistan yang berada dalam Kumpulan A bersama India - pasukan terkuat untuk kejohanan ini.

"Kami dapat lihat ada beberapa kelemahan dikenalpasti pada Pakistan, harap pemain akan buat kerja rumah dan analisis pasukan lawan manakala jurulatih akan buat buat kerja analisis," katanya.

 

https://www.hmetro.com.my/arena/hoki/2023/05/972358/amin-kecewa-menang-tipis-dengan-oman

 

Sumber : hmetro

Tarikh Input: 30/05/2023 | Kemaskini: 31/05/2023 | m_rizal

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXFCUA5~