Empat Wakil Malaysia Tempah Slot Ke Kejuaraan Dunia | AKADEMI SUKAN
» BERITA » Empat Wakil Malaysia Tempah Slot Ke Kejuaraan Dunia

Empat Wakil Malaysia Tempah Slot Ke Kejuaraan Dunia

PETALING JAYA: Tiga pemain muda negara, Noor Ainaa Amani Ampandi, Aifa Azman dan J. Yasshmita menjejakkan kaki ke Kejuaraan Skuasy Dunia buat kali pertama dalam karier mereka, selepas menundukkan lawan masing-masing pada final Kelayakan Kejuaraan Dunia di Kelab Edgbaston Priory, Birmingham, England awal pagi tadi.

Turut mengikut jejak langkah tiga pemain tersebut ialah senior mereka dalam saingan lelaki, Ivan Yuen yang bakal melakukan penampilan buat kali kelima berturut-turut dalam kejuaraan berprestij itu di Chicago, Amerika Syarikat pada 3-11 Mei depan.

Ainaa, 21, yang turun ke gelanggang terlebih dahulu, meneruskan rentak konsistennya sejak merangkul dua gelaran di Hong Kong dan India, baru-baru ini, menewaskan Katerina Tycova dari Jerman 6-11, 11-5, 11-9, 11-6 dalam masa 38 minit.

Aira Azman dan J. Yasshmita yang berusia 19 tahun turut melakar sejarah dalam karier mereka setelah mengetepikan lawan masing-masing pada perlawanan akhir itu.

Pilihan ketiga, Aira yang terpaksa mendapatkan rawatan akibat kecederaan masih mampu meraih kemenangan straight set 11-8, 11-6, 11-4 ke atas Menna Hamed dari Mesir, manakala, Yasshmita menundukkan rakan senegara, Chan Yiwen 8-11, 7-11, 11-8, 11-9, 11-6.

Aira yang mengiringi kakaknya, Aifa ke dalam undian utama memberitahu, ibunya adalah insan yang paling gembira menyaksikan mereka dua beradik beraksi dalam Kejuaraan Dunia.

Sementara itu, Yasshmita pula yang baru sahaja kembali daripada kecederaan lutut tidak menduga sama sekali dia bakal menjejakkan kaki ke Chicago.
“Chicago wow! Saya perlu uruskan visa saya dulu, tidak sabar rasanya, kejohanan terbesar saya setakat ini, harap dapat beri yang terbaik,” katanya.

Dalam saingan lelaki, Ivan yang tidak menyertai mana-mana pertandingan selama empat ke lima bulan akibat kecederaan lutut menewaskan wakil tuan rumah, Finnlay Withington 13-11, 11-4, 14-12. – UTUSAN ONLINE

 

https://www.utusan.com.my/sukan/2023/04/empat-wakil-malaysia-tempah-slot-ke-kejuaraan-dunia

 

Sumber : UTUSAN ONLINE

Tarikh Input: 17/04/2023 | Kemaskini: 05/05/2023 | m_rizal

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXFCJA7~