Erry, Dhabitah Dipilih Olahragawan, Olahragawati MASUM | AKADEMI SUKAN
» BERITA » Erry, Dhabitah dipilih Olahragawan, Olahragawati MASUM

Erry, Dhabitah dipilih Olahragawan, Olahragawati MASUM

Erry dinobatkan sebagai Olahragawan Masum 2022 pada majlis yang berlangsung di Kementerian Pendidikan Tinggi di Putrajaya hari ini. Foto ihsan KPT

 

Putrajaya: Jaguh angkat berat, Muhammad Erry Hidayat dan atlet terjun, Nur Dhabitah Sabri dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) 2022 pada majlis yang berlangsung di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), hari ini.

Erry dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang juga anak kepada bekas atlet angkat berat kebangsaan, Hidayat Hamidon dinobatkan sebagai Olahragawan hasil kejayaannya memenangi pingat perak di Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Erry mengenepikan atlet karate, Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik dari Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM); atlet lompat tinggi, Mohamad Eizlan Dahalan (UMS); atlet karate, G Kathis (UM) dan atlet olahraga, Mohamad Amirul Arif Mohd Azri (UTM).

Manakala Dhabitah yang menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kini menyertai Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun mengekalkan keunggulannya dalam acara terjun apabila meraih dua perak dalam acara 3 meter papan anjal seirama dan individu di Birmingham 2022 mengetepikan lima lagi calon lain masing-masing dalam acara menembak, taekwondo, silat dan memanah.

 

Erry yang terkejut dinobatkan sebagai penerima anugerah itu berkata, gelaran olahragawan mampu melonjakkan semangatnya untuk lebih berjaya pada masa hadapan.

"Selepas ini saya meletak sasaran untuk melakukan lebih baik terutama di kejohanan kelayakan Sukan Komanwel 2026.

"Proses kelayakan dijangka bermula tahun depan dan saya tidak menyertai Sukan Olimpik Paris kerana saya berada di tangga ke-16 dunia. Kalau Olimpik (layak) nak kena berada di kedudukan 10 teratas," katanya.

Erry menerima anugerah yang disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM3,000, trofi iringan pemenang dan sijil penghargaan.

Sementara itu, anugerah Bintang Harapan Lelaki dimenangi atlet karete H Sureeya Sankar

dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) manakala atlet olahraga, Nor Sarah Adi dari UPM dipilih sebagai Bintang Harapan Wanita.

Sebanyak 11 anugerah turut disampaikan antaranya atlet terbaik universiti, pasukan terbaik kategori lelaki dan wanita serta jurulatih dan pegawai yang sentiasa berjuang membangunkan industri sukan.

 

https://www.hmetro.com.my/arena/lain/2023/07/989910/erry-dhabitah-dipilih-olahragawan-olahragawati-masum

 

Sumber : hmetro

Tarikh Input: 21/07/2023 | Kemaskini: 21/07/2023 | m_rizal

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXFCLAX~