Erry, Dhabitah Olahragawan, Olahragawati MASUM 2022 | AKADEMI SUKAN
» BERITA » Erry, Dhabitah Olahragawan, Olahragawati MASUM 2022

Erry, Dhabitah Olahragawan, Olahragawati MASUM 2022

Muhammad Erry Hidayat megah bersama trofi dan replika cek yang diterimanya selepas dinobat sebagai Olahragawan

MASUM 2022 di Putrajaya malam ini. – Foto Kementerian Pendidikan Tinggi

 

PUTRAJAYA: Jaguh angkat berat negara, Muhammad Erry Hidayat dinobat sebagai Olahragawan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2022 manakala penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri meraih gelaran Olahragawati.

Erry dan Nur Dhabitah membawa pulang wang tunai RM3,000, berserta trofi iringan dan sijil pada satu majlis yang disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), sebentar tadi.

"Anugerah ini penting kerana dapat memberi suntikan semangat untuk lebih berjaya pada masa hadapan. Selepas ini saya meletak sasaran untuk melakukan lebih baik terutamanya di kejohanan kelayakan Sukan Komanwel 2026.

"Proses kelayakan dijangka bermula tahun depan. Saya tidak menyertai Sukan Olimpik kerana saya berada di tangga ke-16 dunia. Kalau Olimpik (layak) nak kena berada di kedudukan 10 teratas," kata Erry kepada media selepas majlis yang diadakan di Dewan Za'Ba KPT.

Erry yang mewakili Universiti Putra Malaysia (UPM) mengatasi atlet karate, Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik dari Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM); atlet lompat tinggi, Mohamad Eizlan Dahalan (Universiti Malaysia Sabah); atlet karate, G Kathis (Universiti Malaya) dan juga atlet olahraga, Mohamad Amirul Arif Mohd Azri (Universiti Teknologi Malaysia).

Nur Dhabitah yang mewakili Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula menewaskan atlet menembak yang mewakili UPNM, Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin; atlet taekwondo, Nurul Hidayah Abdul Karim; atlet silat, Nor Farah Mazlan (UPM); Iman Aisyah Norazam (Universiti Sultan Zainal Abidin) dan atlet silat, Siti Nur Khairunnisa Hail (Universiti Pendidikan Sultan Idris).

Erry diangkat sebagai penerima anugerah selepas meraih pingat perak dalam kategori 73 kilogram pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 manakala Nur Dhabitah turut meraih kilauan sama dalam acara 3 meter papan anjal seirama dengan Wendy Ng dan 3m papan anjal individu.

Begitupun Nur Dhabitah tidak dapat hadir pada majlis itu kerana sedang mewakili skuad terjun negara pada Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun.

Sementara itu, anugerah Bintang Harapan Lelaki dimenangi atlet karate H Sureeya Sankar dari UPNM manakala atlet olahraga, Nor Sarah Adi dari UPM dipilih sebagai Bintang Harapan Wanita.

Sebanyak 11 anugerah turut disampaikan antaranya atlet terbaik universiti, pasukan terbaik kategori lelaki dan wanita serta jurulatih dan pegawai yang sentiasa berjuang membangunkan industri sukan.

 

https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2023/07/1129198/erry-dhabitah-olahragawan-olahragawati-masum-2022

 

Sumber : bharian

Tarikh Input: 21/07/2023 | Kemaskini: 21/07/2023 | m_rizal

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXFCIAv~