Hoki Dalam Dewan Yakin Raih Emas | AKADEMI SUKAN
» BERITA » Hoki Dalam Dewan Yakin Raih Emas

Hoki Dalam Dewan Yakin Raih Emas

Kuala Lumpur: Hoki dalam dewan lelaki dan wanita yang menyediakan dua emas di temasya Sukan Sea Kemboja boleh dikatakan sudah dalam genggaman Malaysia.

Keyakinan itu disuarakan ketua jurulatih lelaki dan wanita negara Mohd Hanip Che Halim serta Mohd Badrul Hisham Osman yang melihat prestasi anak buah masing-masing berada pada tahap terbaik sekali gus mampu 'menghentak' lawan mereka kelak.

Malah, berdasarkan prestasi ditunjukkan sepanjang dalam siri Jelajah Australia di Perth baru-baru ini menyaksikan skuad lelaki meraih empat kemenangan, satu seri dan satu kekalahan daripada enam perlawanan.

Mohd Hanip berkata, keputusan positif turut dipamerkan pasukan wanita menerusi tiga kemenangan, satu seri dan dua kekalahan menentang Western Australia dalam enam siri jelajah itu.

"Pemain terpilih adalah individu yang mempunyai skil bermain hoki dalam dewan yang tinggi kerana semua sedia maklum, permainan ini lebih menumpukan kepada kelajuan dan kepantasan termasuk dalam membuat keputusan.

"Saya berharap setiap pemain dapat mengekalkan momentum permainan dengan baik selain terus mengekalkan semangat juang dan berpasukan yang tinggi supaya misi mengekalkan pingat emas mampu direalisasikan," katanya.

Sementara itu, Mohd Badrul berkata, pasukannya mempunyai kekuatan tersendiri bagi memastikan emas kekal milik mereka pada saingan di Dinosaur Park Hall, Chroy Changvar bermula 1 hingga 7 Mei ini.

"Kami juga meletakkan harapan untuk pulang ke Malaysia dengan membawa pingat emas dan setiap daripada kami sedar akan misi tersebut. Kami memohon agar seluruh peminat sukan hoki di Malaysia mendoakan kejayaan kami," katanya.

Sebagai rekod, skuad lelaki akan membuka tirai temasya menentang tuan rumah Kemboja esok, manakala pasukan wanita dijadualkan bertemu Singapura pada hari yang sama.

 

https://www.hmetro.com.my/arena/hoki/2023/04/961502/hoki-dalam-dewan-yakin-raih-emas

 

Sumber : hmetro

Tarikh Input: 03/05/2023 | Kemaskini: 05/05/2023 | m_rizal

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXFCTAf~