Jangan Hilang Fokus - Amin | AKADEMI SUKAN
» BERITA » Jangan Hilang Fokus - Amin

Jangan Hilang Fokus - Amin

PHNOM PENH: Ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, Muhamad Amin Rahim sekali lagi mengingatkan anak buahnya supaya tidak boleh hilang fokus sekiranya mahu membawa pulang pingat emas dari Sukan SEA Kemboja 2023.

 

Malaysia akan berdepan Singapura dalam perlawanan akhir di Stadium Hoki Morodok Techo, esok selepas masing-masing mengungguli kelompok dua teratas dalam pusingan round robin yang berakhir, semalam.

Peringatan yang diberikan Amin itu tampak berasas selepas pasukan negara dalam beberapa perlawanan sebelum ini kelihatan sering hilang fokus selepas mendahului hingga membolehkan lawan mendapatkan gol.

 

Mimpi ngeri yang diterima skuad hoki dalam dewan lelaki negara ketika tewas 1-2 menerusi shoot-out kepada Indonesia dalam penentuan pingat emas sebelum ini juga harus dijadikan iktibar oleh skuad hoki padang.

Ia kerana faktor hilang fokus juga menjadi punca skuad hoki dalam dewan lelaki negara terlepas emas apabila Indonesia bangkit dalam tiga minit terakhir untuk mengikat kedudukan ketika Malaysia selesa mendahului 3-0.

Amin turut menuntut barisan pemainnya tidak memandang mudah terhadap keupayaan Singapura walau Speedy Tigers berjaya mengatasi lawan itu 4-3 dalam pusingan round robin.

"Semua gol lawan berlaku akibat pemain hilang fokus, apabila sudah mendahului ada rasa sudah menang dan boleh tarik nafas lega. Ini Sukan SEA, kita tak boleh ada rasa begitu.

"Pemain perlu fokus sepenuhnya dalam 60 minit pemainan tidak kira sedang mendahului 10-0 atau 20-0, selagi belum wisel penamat kita perlu fokus. Kita kena kekal berdisiplin mengikut arahan dan perancangan.

"Singapura tetap pasukan yang berpengalaman dan beberapa kali beraksi di pentas final bersama Malaysia. Kemenangan ke atas Thailand membuktikan mereka antara pasukan yang ada kualiti.

"Kami akan bermain mati-matian dan saya yakin sekiranya pemain kekal fokus serta mengikut perancangan yang diatur, saya tidak nampak mengapa kami tidak boleh pulang ke Malaysia dengan kalungan pingat emas," kata Amin.

Pertembungan Malaysia dan Singapura esok juga boleh dianggap sebagai ulangan final Sukan SEA Singapura 2015 yang menyaksikan Speedy Tigers menang 4-3 menerusi penalti shoot-out selepas terikat 2-2.

 

https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2023/05/1101470/jangan-hilang-fokus-amin

 

Sumber : bharian

Tarikh Input: 16/05/2023 | Kemaskini: 16/05/2023 | m_rizal

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXFCRAj~