Keyakinan Ainaa Makin Memuncak - Sharon | AKADEMI SUKAN
» BERITA » Keyakinan Ainaa Makin Memuncak - Sharon

Keyakinan Ainaa Makin Memuncak - Sharon

PETALING JAYA: Kejayaan pemain muda skuasy negara, Noor Ainaa Amani Ampandi yang merangkul gelaran kedua dalam tempoh dua minggu pada Jelajah Cabaran PSA di New Delhi, India, kelmarin diyakini memberi suntikan motivasi kepada pemain itu untuk mencapai kejayaan yang lebih besar selepas ini.

Gadis kelahiran Kuala Lumpur yang kini menghuni ranking ke-90 dunia itu menundukkan wakil Mesir, Haya Ali 11-8, 11-9, 11-9 dalam masa 29 minit pada perlawanan akhir Terbuka Vikram Goyal SRFI.

Sebelum mara ke final, Ainaa berjaya mengejutkan pilihan pertama, Cheng Nga Ching dari Hong Kong 11-8, 11-5, 11-9 yang merupakan pencabar yang sama ditewaskannya dalam aksi akhir pada Piala Cabaran Skuasy Hong Kong, bulan lalu.

Naib Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Sharon Wee berkata, kejayaan tersebut sedikit sebanyak akan mengubah tahap keyakinan Ainaa untuk terus mencipta kejayaan dalam mana-mana pertandingan yang bakal disertainya kelak.

“Saya sendiri sebagai bekas pemain profesional saya gembira melihat Ainaa bermain dengan baik dan ia merupakan kemenangan kedua dalam Jelajah PSA selepas dua minggu.

“Apabila menang pertandingan pertama, selepas itu dibuktikan sekali lagi menang pada kejohanan kedua, sedikit sebanyak ia memberi perubahan kepada tahap keyakinan Ainaa bahawa dia kini seorang juara dan boleh lakukan apa sahaja untuk bergelar juara jika bekerja keras,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

 

Kemenangan Ainaa di Hong Kong merupakan kejayaan sulungnya dalam jelajah PSA (Persatuan Skuasy Profesional), manakala, di India adalah gelaran kedua buat pemain berusia 21 tahun itu.

Kejayaan merangkul gelaran di India merupakan kemenangan terbesar Ainaa setakat ini dalam karier solo selaku pemain profesional.

Menurut Sharon, mengalahkan Nga Ching pada separuh akhir iaitu lawan yang sama ditewaskannya sewaktu merangkul gelaran sulungnya di Hong Kong, Ainaa membuktikan dirinya memang layak untuk menundukkan pemain itu.

elasnya lagi, kejayaan Ainaa itu juga merupakan satu perkhabaran gembira buat skuasy Malaysia yang kini dalam persiapan bagi menghadapi Sukan Asia di Hangzhou, China, September ini.

“Bagi pihak SRAM, kita gembira pemain kita semuanya dalam prestasi terbaik menjelang persediaan ke Sukan Asia, dengan pencapaian terbaru Ainaa sudah tentu dia berpeluang besar berada dalam pasukan kebangsaan dan kita harapkan kemenangan ini akan naikkan motivasinya serta sekali gus mencerahkan peluang Malaysia pada temasya itu nanti,” ujarnya.-UTUSAN

 

https://www.utusan.com.my/sukan/2023/04/keyakinan-ainaa-makin-memuncak-sharon/

 

Sumber : UTUSAN

 

Tarikh Input: 11/04/2023 | Kemaskini: 05/05/2023 | m_rizal

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXFCLAD~