Nani Idam Emas Sukan SEA Thailand 2025 | AKADEMI SUKAN sukan
» BERITA » Nani idam emas Sukan SEA Thailand 2025

Nani idam emas Sukan SEA Thailand 2025

 
 

 

KUALA TERENGGANU: Selepas berjaya memecah rekod kebangsaan acara lontar peluru, Nani Sahirah Maryata mensasarkan pingat emas pada temasya Sukan SEA di Thailand Disember 2025.

Terdahulu pada Kejohanan Varsity Track & Field Grand Final yang berakhir di Stadium Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Gong Badak, semalam, penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) itu meraih pingat emas.

Lebih menggembirakan, penuntut tahun empat Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Ekonomi itu berjaya memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri selepas melakar catatan 15.70 meter (m) berbanding rekod lamanya, 15.39m.

Bagaimanapun atlet berusia 23 tahun kelahiran Kuantan itu mengakui ia bukan tugas mudah lebih-lebih lagi pesaing dari negara lain memiliki rekod lontaran yang lebih baik berbandingnya.

"Sebenarnya saya berusaha nak pecahkan rekod kejohanan SUKIPT (Sukan Institusi Pengajian Tinggi) pada September lalu, tapi ianya tidak menjadi kenyataan.

"Namun pada Kejohanan Terbuka Perlis bulan lalu, saya berjaya pecah rekod saya sendiri dengan lontaran sejauh 15.39m dan pada petang ini (semalam), saya berjaya sekali lagi pecah rekod diri sendiri di bumi UniSZA.

"Kejayaan ini membangkitkan lagi keazaman untuk memburu pingat emas dalam saingan Sukan SEA di Thailand tahun depan walaupun saya akui sukar kerana jarak lontaran dengan pemenang pingat emas sukan SEA yang lalu agak jauh.

"Tapi ia tidak mustahil boleh dilakukan, saya akan berusaha lebih gigih lagi dengan bimbingan jurulatih sekali gus memperbaiki catatan pada Sukan SEA pertama di Kemboja tahun lalu dengan hanya mengutip gangsa dengan jarak lontaran 14.41m," kata Nani ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat kepada Olahragawan dan Olahragawati kejohanan itu.

 

Sumber: Berita Harian Online 

Tarikh Input: 12/11/2024 | Kemaskini: 30/04/2026 | zawinnadjah

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
W, (03:16:26am-03:21:26am, 10 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]