Nani Sahirah Terima Durian Runtuh | AKADEMI SUKAN
» BERITA » Nani Sahirah terima durian runtuh

Nani Sahirah terima durian runtuh

KUANTAN: Atlet lontar peluru wanita negara Nani Sahirah Maryata muncul penerima insentif tertinggi berjumlah RM10,000 pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Atlet Pahang di Sukan SEA Ke-33 dan Para ASEAN Ke-13 Thailand 2025.

Insentif yang diterima atlet kelahiran Kuantan, Pahang itu berdasarkan pencapaian meraih pingat emas acara lontar peluru dan kejayaan memecahkan rekod kebangsaan.

Nani Sahirah bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Pahang, khususnya Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan ismail yang menaikkan insentif kepada atlet yang meraih pingat emas, perak dan gangsa.

"Bagi emas, saya menerima RM8,000 dan RM2,000 kerana berjaya memecahkan rekod kebangsaan. Insentif yang diberikan kerajaan negeri meningkatkan keyakinan untuk melakar kejayaan lebih besar selepas ini.

"Ketika ini, saya memberikan fokus pada Sukan Asia 2026 di Jepun pada September depan dengan menyasarkan pingat. Dengan insentif ini juga saya berhasrat untuk menunaikan umrah" katanya yang mencatat lontaran 16.36 meter (m) pada Sukan SEA itu.

Pada majlis itu, seramai 52 atlet Sukan SEA dan Para ASEAN menerima insentif yang keseluruhan berjumlah RM170,500 daripada Kerajaan Pahang yang disampaikan Wan Rosdy.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, kerajaan negeri menaikkan kadar insentif kemenangan atlet.

Katanya, pingat emas bagi individu menerima RM8,000 berbanding RM5,000 sebelum ini, diikuti perak RM4,000 berbanding RM3,000 dan gangsa pula RM2,500 berbanding RM1,500.

"Bagi insentif emas berpasukan lebih tiga orang, akan menerima RM4,000, perak pula RM2,000 dan gangsa (RM1,500).

"Sebagai tambahan, Kerajaan Pahang turut menyediakan insentif khas bagi atlet yang memecahkan rekod kejohanan Sukan SEA iaitu RM2,000," katanya.

Tarikh Input: 28/04/2026 | Kemaskini: 28/04/2026 | zawinnadjah

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
S, (09:58:08pm-10:03:08pm, 05 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]