Queenie Buru Catatan 55 Meter | AKADEMI SUKAN
» BERITA » Queenie Buru Catatan 55 Meter

Queenie Buru Catatan 55 Meter

QUEENIE (kanan) pada satu majlis di Bandar Enstek, Nilai, baru-baru ini. FOTO MOHD AMIN JALIL

 

Seremban: Jaguh lempar cakera negara, Queenie Ting Kung Ni menyasarkan catatan sekurang-kurangnya 55 meter (m) dalam tempoh tiga bulan untuk memastikan berpeluang meraih pingat di Sukan Asia Hangzhou di China, September depan.

Sehubungan itu, atlet berusia 25 tahun itu mahu bekerja lebih keras dalam tempoh masa yang ada untuk memastikan hasratnya menyumbang pingat di temasya itu, dapat direalisasikan.

 

"Berdasarkan rekod lempar cakera di Sukan Asia sebelum ini, catatan 55m adalah antara ketiga terbaik untuk meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa.

"Catatan terbaik saya setakat ini 52.77m, manakala pencapaian di Sukan Sea Kemboja, baru-baru ini adalah 52.36m.

 

"Jadi, saya perlu menggunakan peluang dan tempoh masa yang ada ini untuk meningkatkan lagi prestasi dan pencapaian dalam latihan supaya dapat menambah jarak itu," katanya.

Queenie yang dibimbing jurulatih, Mohamad Ali Hamid, mengakui tidak berpuas hati dengan catatan di Sukan Sea Kemboja itu, yang membolehkannya meraih pingat perak.

Menurutnya, dia yakin masih boleh melakukan catatan lebih baik dan akan berusaha memperbaiki segala kelemahan dalam tempoh terdekat.

"Saya fokus untuk mencapai catatan 55m dulu sebelum ke catatan lebih jauh dan berharap dapat mencapainya sebelum ke China.

"Setakat ini, belum dipastikan sama ada saya akan menjalani latihan di luar negara sebelum ke Sukan Asia," katanya.

 

https://www.hmetro.com.my/arena/lain/2023/06/977683/queenie-buru-catatan-55-meter

 

Sumber : hmetro

Tarikh Input: 15/06/2023 | Kemaskini: 15/06/2023 | m_rizal

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXFCKAd~