Sharul Aimy Berguru Dengan 'King Kohei' | AKADEMI SUKAN
» BERITA » Sharul Aimy berguru dengan 'King Kohei'

Sharul Aimy berguru dengan 'King Kohei'

Sharul Aimy menamatkan kemarau pingat selama 17 tahun negara dalam sukan itu selepas berjaya memenangi gangsa dalam acara melombol di Sukan Asia Hangzhou. Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
Sharul Aimy menamatkan kemarau pingat selama 17 tahun negara dalam sukan itu selepas berjaya memenangi gangsa dalam acara melombol di Sukan Asia Hangzhou. Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH

KUALA LUMPUR: Atlet gimnastik artistik negara, Muhammad Sharul Aimy Mohd Kamaru Hisam akan mendapat sentuhan bekas juara Olimpik tiga kali Kohei Uchimura dari Jepun sebagai persediaan untuk membuat penampilan sulung dalam temasya sukan Olimpik Paris tahun depan.

Naib Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Francis Lau berkata mereka sedang dalam perbincangan terakhir dengan Uchimura untuk memudahkan sesi latihan Sharul Aimy di Jepun, yang dijadualkan bermula bulan depan.

"Uchimura boleh dikatakan salah seorang gimnas terbaik dunia. Jika semuanya berjalan mengikut perancangan, Sharul Aimy akan menerima latihan di gimnasium Uchimura di Jepun.

"Sharul Aimy dijangka berlatih selama enam minggu di Jepun bermula awal tahun depan sebelum dia beraksi pada Siri Piala Dunia 2024 di Kaherah, Mesir (15-18 Feb), yang merupakan sebahagian daripada kelayakan Sukan Olimpik 2024," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sukan (JKK) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil di sini, hari ini.

Uchimura atau lebih dikenali sebagai 'King Kohei' mencatat rekod mengagumkan dengan meraih tujuh pingat Olimpik termasuk emas 'all-around' lelaki berturut-turut di London 2012 dan Rio 2016, selain menyumbang kepada emas acara berpasukan lelaki Jepun di Rio 2016.

Dalam pada itu, Francis berkata Sharul Aimy perlu berada dalam kedudukan dua gimnas teratas pada setiap peralatan dalam keempat-empat siri Piala Dunia yang dijangka disertainya untuk mara ke OLimpik Paris 2024.

Selain kejohanan Kaherah, atlet berusia 22 tahun itu dijadualkan mengambil bahagian dalam tiga lagi Siri Piala Dunia 2024 iaitu Cottbus, Jerman (22-24 Feb) diikuti Baku, Azerbaijan (7-10 Mac) dan Doha, Qatar ( 17-20 April).

Sementara itu, setiausaha kehormat MGF, Dr Teh Lah Hoong berkata mereka pada mulanya berhasrat membawa dua gimnas lain - Luqman Al-Hafiz Zulfa dan Ng Chun Chen - untuk mengikuti Sharul Aimy berlatih di Jepun tetapi kekangan bajet menghalang penyertaan mereka.

"MSN meluluskan Sharul Aimy semata-mata berdasarkan kewajaran memenangi pingat di Sukan Asia baru-baru ini," katanya.

Pada 29 Sept lalu, Sharul Aimy menamatkan kemarau pingat selama 17 tahun negara dalam sukan itu selepas berjaya memenangi gangsa dalam acara melombol di Sukan Asia Hangzhou 2022.

https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2023/12/1187981/sharul-aimy-berguru-dengan-king-kohei

Sumber : berita harian online

Tarikh Input: 12/12/2023 | Kemaskini: 13/12/2023 | rohaida_h

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXEcDAk~