Skuad Hoki Akhiri Kempen Di Tempat Kelima | AKADEMI SUKAN
» BERITA » Skuad Hoki Akhiri Kempen Di Tempat Kelima

Skuad Hoki Akhiri Kempen Di Tempat Kelima

Pemain negara (jersi putih) ketika menentang Kazakhstan pada penentuan klasifikasi tempat kelima Piala Remaja Asia.

KUALA LUMPUR: Skuad hoki remaja wanita kebangsaan mengakhiri kempen Piala Remaja Asia 2023 di kedudukan lima terbaik selepas membelasah Kazakhstan 7-0 pada perlawanan klasifikasi tempat kelima dan keenam di Kakamigahara, Jepun hari ini.

Pada pertembungan di Stadium Hoki Kawasaki Heavy Industries, Azmyra Mia Sofea Azhairy yang muncul pemain terbaik perlawanan, membuka tirai jaringan pada minit ke-14 selepas bijak menyudahkan lorongan rakan sepasukan Nurul Fatin Fatiah Azman.

Skuad bimbingan Lailin Abu Hassan semakin selesa selepas Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-18 diikuti jaringan padang Nur Shamine Azureen Mohammed Badusha pada minit ke-28 untuk pasukan negara mendahului 3-0 pada separuh masa pertama.

 Bersambung babak kedua, Malaysia tidak menunjukkan belas kasihan apabila menambah jaringan keempat hasil penyudah pukulan sudut penalti Dian Nursyakira pada minit ke-36 sebelum Azmyra Mia meledak gol kelima menerusi jaringan padang seminit sebelum suku ketiga berakhir.

Nur Shamine dan Siti Nur Irdina Mohd Nor menambah derita lawan selepas masing-masing menjaringkan gol padang pada minit ke-53 dan ke-55 sekali gus menoktahkan kemenangan bergaya pasukan.

 

"Sepanjang kejohanan ini berlangsung, pemain menunjukkan prestasi yang baik walaupun kebanyakan mereka baru pertama kali beraksi di pentas antarabangsa tertinggi, namun menunjukkan satu kesungguhan tinggi untuk mencapai tahap permainan terbaik.

"Saya harap pemain akan terus memperbaiki diri, pendedahan serta pengalaman yang diraih pada kejohanan ini akan membantu mereka untuk menjadi lebih baik pada masa akan datang," kata Lailin dalam kenyataan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Beliau berkata perancangan pasukan seterusnya adalah meneruskan latihan secara berfasa, selain turut mengharapkan sokongan semua pihak dalam menghadapi kejohanan akan datang.

Sebagai rekod, skuad hoki remaja wanita kebangsaan gagal mara ke separuh akhir di Kakamigahara apabila menduduki tempat ketiga dalam saingan Kumpulan A selepas merakam dua kemenangan dan tewas dua kali.

Anak buah Lailin kemudian membelasah Hong Kong 10-1 pada aksi klasifikasi tempat kelima hingga lapan, Jumaat lepas sebelum bertemu Kazakhstan hari ini. - BERNAMA

 

https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2023/06/1113042/skuad-hoki-akhiri-kempen-di-tempat-kelima

 

Sumber : bharian

 

Tarikh Input: 12/06/2023 | Kemaskini: 12/06/2023 | m_rizal

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXFCTAN~