Skuad Hoki Dalam Dewan Wanita Ke Separuh Akhir | AKADEMI SUKAN
» BERITA » Skuad hoki dalam dewan wanita ke separuh akhir

Skuad hoki dalam dewan wanita ke separuh akhir

Kuala Lumpur: Skuad hoki dalam dewan wanita meneruskan perjuangan ke separuh akhir selepas menewaskan Iran 4-2 dalam perlawanan terakhir Kumpulan A Piala Asia Hoki Dalam Dewan, sebentar tadi.

Dalam perlawanan di Universiti Sukan Kebangsaan Thailand, Malaysia turun dalam misi wajib menang kerana sekiranya Iran menang, skuad negara terpaksa melupakan kejohanan ini lebih awal.

 

Ketua jurulatih pasukan negara, Mohd Rodzhanizam Mat Radzi berkata, beliau berpuas hati dengan semangat anak buahnya yang terus mempamerkan semangat juang tinggi untuk mencari kemenangan meskipun lawan terlebih dulu menjaringkan gol dahulu. 

"Pertama sekali, Alhamdulillah kami meraih kemenangan pada perlawanan penting menentang Iran.

"Pemain tidak berputus asa walaupun ketinggalan dan bermain mati-matian untuk bangkit mencari kemenangan. Pujian harus diberikan kepada seluruh pemain serta pasukan dan pemain mengikut perancangan ditetapkan barisan kejurulatihan," katanya.

Katanya, bagi perlawanan separuh akhir esok, beliau dan barisan jurulatih akan mengkaji lebih mendalam berkenaan pasukan lawan dan mengharapkan anak didiknya tidak lagi melakukan kesilapan mudah dalam perlawanan itu.

"Siapa pun lawan kami di separauh akhir sama ada Thailand atau Indonesia, kami akan bersedia sepenuhnya.

"Menjelang separuh akhir, kami akan menilai kembali kesilapan yang dilakukan pasukan dan akan memperbaikinya.

"Analisis perlawanan lawan dari sudut kekuatan dan kelemahan mereka akan dilakukan oleh barisan kejurulatihan bagi mempersiapkan pemain dengan sebaiknya," katanya.

Di separuh akhir, Malaysia dijadualkan akan turun pada jam 10.15 malam waktu tempatan dan akan berdepan sama ada Thailand atau Indonesia.

Terdahulu, Malaysia terpaksa bangkit dua kali untuk mengikat kedudukan dengan Iran sebelum menambah dua lagi jaringan.

Empat gol Malaysia dijaringkan Raja Norsharina Raja Shahbuddin pada minit ke-12, Siti Nur Arfah Mohd Nor (m-22), Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun (m-24) dan Juliani Mohamad Din (m-25) manakala Iran pula memperoleh jaringan menerusi Ziba Yahyavi (m-9) dan Pania Abbasi (m-18).

Sumber: Harian Metro Online 

https://www.hmetro.com.my/arena/hoki/2024/05/1090424/skuad-hoki-dalam-dewan-wanita-ke-separuh-akhir 

 

Tarikh Input: 15/05/2024 | Kemaskini: 15/05/2024 | zawinnadjah

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
X, (01:39:20pm-01:44:20pm, 23 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]