Skuad Hoki Remaja Lelaki Tenang Benam Korea Selatan | AKADEMI SUKAN
» BERITA » Skuad Hoki Remaja Lelaki Tenang Benam Korea Selatan

Skuad Hoki Remaja Lelaki Tenang Benam Korea Selatan

AKSI antara skuad hoki remaja negara dengan Korea Selatan. FOTO Ihsan Persekutusan Hoki Asia

 

Kuala Lumpur: Skuad hoki remaja lelaki kebangsaan menempah tiket ke separuh akhir Kejohanan Piala Remaja Asia 2023 di Salalah, Oman selepas menundukkan Korea Selatan 3-1 pada aksi ketiga saingan Kumpulan B hari ini.

Kemenangan itu bermakna pasukan bimbingan Muhamad Amin Rahim terus mempertahan rekod tanpa kalah di kejohanan itu yang berlangsung di Kompleks Belia Sultan Qaboos dan dijangka berdepan sama ada India atau Pakistan.

Tiga gol Malaysia yang terhasil hari ini hadir menerusi pukulan sudut penalti T Perabu pada minit ke-11 diikuti jaringan minit ke-54 Shahmie Irfan Suhaimi yang sekali lagi dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan dan gol kemenangan pada minit ke-57 disumbang oleh Mughni Mohamad Kamal.

 

Gol tunggal Korea Selatan hadir pada minit ke-56 menerusi jaringan padang Park Geonwoo.

Sementara itu, Muhamad Amin memuji kesungguhan anak buahnya dalam mempersembahkan aksi menarik mengikut strategi yang telah diatur bagi perlawanan itu.

 

"Saya nak merakamkan kesyukuran atas kemenangan ketiga berturut-turut dan saya nak berikan pujian kepada pemain kerana turun beraksi dengan baik untuk perlawanan ketiga berturut-turut.

"Kita juga ada peluang untuk menjaringkan gol padang tetapi penyudahan agak kurang baik daripada barisan serangan namun kita menggunakan kelebihan pukulan sudut penalti dengan sebaiknya untuk mendapatkan gol," katanya dalam video yang dikongsikan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Muhammad Amin berkata pihaknya akan membuat analisis video untuk mengenal pasti kelebihan dan kelemahan pasukan bagi memastikan kemenangan mampu dicapai ketika bertemu tuan rumah (Oman) pada saingan terakhir kumpulan B, Selasa ini.

Dua pasukan terbaik daripada Kumpulan A dan B akan mara ke peringkat separuh akhir pada 31 Mei dan 1 Jun.

Skuad remaja negara memulakan kempen Kejohanan Piala Remaja Asia 2023 dengan bergaya selepas membelasah Uzbekistan 8-1 pada aksi pembukaan, seterusnya menundukkan Bangladesh 5-1 pada aksi kedua.

Malaysia melakar sejarah apabila muncul juara Kejohanan Hoki Piala Remaja Asia buat julung kali pada 2012 sekali gus menamatkan penantian 20 tahun untuk merangkul kejuaraan itu selepas mengalahkan Pakistan 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Bukit Serindit, Melaka.

 

https://www.hmetro.com.my/arena/hoki/2023/05/971506/skuad-hoki-remaja-lelaki-tenang-benam-korea-selatan

 

Sumber : hmetro

Tarikh Input: 30/05/2023 | Kemaskini: 30/05/2023 | m_rizal

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXFCUAQ~