Skuad Negara Bukan Tandingan Korea Selatan | AKADEMI SUKAN
» BERITA » Skuad Negara Bukan Tandingan Korea Selatan

Skuad Negara Bukan Tandingan Korea Selatan

Aksi pemain negara (jersi merah) ketika berdepan Korea Selatan pada Kejohanan Ragbi Asia

di Stadium Saiyyidina Hamzah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). NSTP/ASWADI ALIAS.

 

GOMBAK: Skuad ragbi negara terpaksa akur apabila tewas 3-27 di tangan Korea Selatan pada aksi pertama saingan Divisyen Perdana Kejohanan Ragbi Asia (ARC), hari ini.

Pada aksi berlangsung di Stadium Saiyyidina Hamzah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu menyaksikan Korea meraih empat try menerui Chang Yeongheung pada minit ketiga, Kim Kimin (29), Lee Geon (40) dan Hwang Jeongwook (43). 

 

Kimin turut berjaya menyempurnakan dua conversion dan dua penalti buat skuad Korea.

Malaysia mendapat satu penalti dalam perlawanan itu yang disempurnakan Mohd Fairuz Ab Rahman.

Terdahulu, perlawanan terpaksa dihentikan pada minit ke-66 selama 30 minit disebabkan kilat sebelum kembali disambung namun hanya bertahan sehingga minit ke-77 apabila pengadil memutuskan untuk menamatkan permainan selepas sekali lagi cuaca buruk melanda.

Jurulatih skuad Bunga Raya, Mohd Fariz Syazwan Abu Bakar, berkata biarpun tewas namun dia tetap memuji semangat juang dipamerkan barisan pemainnya yang cuba memberikan tentangan sengit kepada Korea selaku gergasi Asia apatah lagi pasukan kali ini hanya diperkuatkan seorang pemain naturalisasi iaitu Lee Chapman.

"Barisan jurulatih sudah jangkakan yang kita akan bergelut pada babak pertama kerana persiapan kita tidak mempunyai instensiti yang mencukupi untuk bermain di peringkat Perdana.

"Namun, apa yang positifnya mengenai pasukan kali ini adalah kami cuba bangkit di babak kedua tetapi malangnya keadaan cuaca banyak menghalang dan mengganggu momentum pasukan untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu try.

"Apa pun saya bangga dengan usaha ditunjukkan pemain yang sudah cuba sehabis baik untuk menyaingi pasukan gergasi seperti Korea," katanya.

Anak buah Farid akan berdepan satu lagi gergasi Asia, Hong Kong untuk aksi terakhir Divisyen Perdana di Hong Kong Football Club pada 10 Jun ini.

Ini adalah kali keempat skuad Bunga Raya beraksi dalam Divisyen Perdana sejak 'naik pangkat' pada 2018.

 

https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2023/06/1109739/skuad-negara-bukan-tandingan-korea-selatan

 

Sumber : bharian

Tarikh Input: 06/06/2023 | Kemaskini: 06/06/2023 | m_rizal

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXFCJAB~