Tampil Mentaliti Juara - Amin | AKADEMI SUKAN
» BERITA » Tampil Mentaliti Juara - Amin

Tampil Mentaliti Juara - Amin

SEMALAM Malaysia mengesahkan tiket ke separuh akhir selepas mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dengan menewaskan Korea Selatan 3-1. FOTO Ihsan Persekutuan Hoki Asia

 

Kuala Lumpur: Pemain hoki remaja kebangsaan diminta agar mempunyai 'mentaliti juara' apabila bertemu tuan rumah, Oman pada aksi terakhir Kumpulan B di Kejohanan Piala Remaja Asia 2023, di Salalah, awal pagi Selasa ini.

Jurulatih skuad hoki remaja negara, Muhamad Amin Rahim berkata selain mahu mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kumpulan, kemenangan ke atas Oman itu juga penting bagi memastikan tahap keyakinan pemain berada pada tahap tertinggi sebelum bertemu lawan yang lebih mencabar sama ada India atau Pakistan di peringkat separuh akhir.

"Bagi saya apa yang paling penting adalah konsistensi daripada para pemain. Pemain harus turun ke padang dengan mentaliti untuk menang (menentang Oman).

"Sudah tentu kemenangan itu nanti akan meningkatkan lagi tahap keyakinan pemain sebelum kita beraksi dalam perlawanan separuh akhir.

 

"Bagaimana kita mahu bermain dengan Oman nanti, kita akan kaji dan lihat semula rakaman perlawanan mereka sebelum ini dan tengok apa kekuatan yang kita boleh gunakan," kata Amin.

Semalam, anak buah Amin mengesahkan tiket ke separuh akhir selepas mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dengan menewaskan Korea Selatan 3-1.

Sebelum itu, Malaysia membuka tirai kempen kejohanan kali ini dengan penuh bergaya apabila membelasah Uzbekistan 8-1 sebelum mengatasi Bangladesh 5-1.

Mengulas lanjut, Amin berkata dia mahu anak buahnya memberi fokus sepenuhnya terhadap aksi menentang Oman sebelum memikirkan perlawanan separuh akhir menentang sama ada India atau Pakistan.

"Apa yang paling penting sekarang, pemain bersedia untuk bertemu dengan Oman. Selepas itu nanti baru kita fikirkan aksi separuh akhir, lagipun ada masa nanti untuk kita buat persiapan bagi menghadapi perlawanan menentang sama ada India atau Pakistan," katanya.

 

https://www.hmetro.com.my/arena/hoki/2023/05/971821/tampil-mentaliti-juara-amin

 

Sumber : hmetro

Tarikh Input: 30/05/2023 | Kemaskini: 30/05/2023 | m_rizal

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXFCTAo~