UPM Tiada Tandingan Di VTF 2023 Sirkit Kedua | AKADEMI SUKAN
» BERITA » UPM Tiada Tandingan Di VTF 2023 Sirkit Kedua

UPM Tiada Tandingan Di VTF 2023 Sirkit Kedua

KUANTAN: Kontinjen Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul juara keseluruhan pada Kejohanan Varsity Track & Field (VTF) 2023 Sirkit Kedua berakhir semalam di Stadium Darul Maklmur, di sini.

Selepas tiga hari bersaing, kontinjen berkenaan mengumpul 23 pingat emas, 13 perak dan lapan gangsa meninggalkan Universiti Pendidikan Sultan Idris UPSI di tempat kedua dengan lapan emas, empat perak dan tujuh gangsa.

Tangga ketiga berpihak pada Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan mendapat dua emas, empat perak dan enam gangsa.

Kejohanan VTF 2023 Sirkit Kedua itu dianjurkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama UPM disertai seramai 384 atlet mewakili 30 Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan.

Sebanyak 42 acara yang dipertandingkan, masing-masing membabitkan 20 acara lelaki dan wanita termasuk dua acara campuran.

Sebanyak lima rekod baharu dicipta membabitkan acara 10,000 meter (m) jalan kaki lelaki oleh Muhammad Fakhrulrazi JailanI (UPM), lontar peluru oleh Kamal Farhan A Rahman (UPM) dan heptathlon (wanita) oleh Amni Liyana Anuar (UPSI).

Rekod baharu turut dicipta dalam acara 3,000m lari berhalangan (wanita) oleh Ainur Shafiqah Azmi (UPM) dan acara 4x100m (lelaki) kuartet UPM.

Bagi jaguh pecut negara, Jonathan Nyepa yang membawa cabaran kontinjen UPM berbangga dengan kejayaan menyumbang tiga pingat emas menerusi acara 100m, 200m dan 4x100m.

Menurutnya, selepas tidak dapat beraksi pada VTF 2023 Sirkit Pertama di Melaka sebelum ini, dia bangkit membuktikan kemampuan yang dimiliki pada edisi kali ini.

"Saya amat berpuas hati apabila berjaya mencapai impian dan matlamat yang diletakkan oleh barisan pegawai pasukan UPM sebelum datang ke Kuantan.

"Kejayaan UPM muncul juara keseluruhan VTF 2023 Sirkit Kedua kali ini hasil kesungguhan semua atlet yang berjuang memburu kejayaan dalam semua acara yang dipertandingkan selama tiga hari kejohanan," katanya.

Pelari jarak jauh UPM, Ainur Shafiqah Azmi berkata, dia tidak menyangka dapat melakukan rekod baharu acara 3,000m lari berhalangan dengan masa 13 minit (m) 43.30 saat (s) untuk membawa pulang pingat emas.

"Rekod lama kejohanan milik atlet UPM, Afnan Nafisah Nor Mohamed (14m 50.74s). Saya bersyukur dengan kemenangan yang dicapai selepas melakukan persiapan secara berterusan sejak awal tahun," katanya yang berharap dapat terus mencipta kejayaan selepas ini.

 

https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2023/05/1107442/upm-tiada-tandingan-di-vtf-2023-sirkit-kedua

 

Sumber : bharian

 

Tarikh Input: 30/05/2023 | Kemaskini: 30/05/2023 | m_rizal

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXFCJAl~