Young Tigress Ratah Uzbek | AKADEMI SUKAN
» BERITA » Young Tigress Ratah Uzbek

Young Tigress Ratah Uzbek

SKUAD hoki remaja wanita bergambar sebelum menentang Uzbekistan. FOTO AHF

 

Kuala Lumpur: Skuad hoki remaja wanita negara menjadikan Uzbekistan mangsa lepas geram apabila membelasah lawan mereka itu 12-0 pada aksi ketiga Kumpulan A, Piala Remaja Asia, hari ini di Stadium Hoki Kawasaki Heavy Industries, Kakamigahara, Jepun.

Kemenangan itu menghidupkan kembali peluang Young Tigress untuk melangkah ke separuh akhir selepas tewas 1-2 kepada India, semalam.

Harapan skuad negara lebih cerah selepas pencabar terdekat, Korea Selatan gagal menewaskan pilihan utama kejohanan, India apabila terikat 2-2 dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung hari ini.

Ia menyaksikan skuad negara kini berdepan misi wajib menang ke atas Korea Selatan pada aksi terakhir Khamis ini untuk mara ke separuh akhir selaku dua pasukan terbaik Kumpulan A.

 

Dua pemain, Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri dan Zati Alyani Muhamad Zubir masing-masing berjaya meledak hatrik buat skuad Young Tigress pada perlawanan hari ini.

Kirandeep Kaur Gurdip Singh dan Norshafiqha Ishak pula masing-masing menjaringkan dua gol selain satu jaringan masing-masing menerusi Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin serta Nur Shamine Azureen Mohammed Badusha.

Ketua jurulatih skuad negara, Lailin Abu Hassan nyata berpuas hati dengan prestasi barisan pemainnya yang kini hanya ketinggalan satu mata di belakang Korea Selatan, namun memiliki kelebihan dari segi jumlah perbezaan gol.

"Saya berpuas hati dengan 12 gol dihasilkan kerana ia merapatkan jarak perbezaan gol dengan Korea Selatan untuk membuka laluan ke separuh akhir nanti.

"Saya melihat masih ada kelemahan dari segi asas hoki dan taktikal yang perlu diperbaiki menjelang aksi penting bertemu Korea Selatan.

"Harap pemain cepat menyesuaikan diri dengan taktikal akan dirancang kerana Korea Selatan antara pasukan pilihan dan berpeluang untuk melayakkan diri ke separuh akhir," katanya.

 

https://www.hmetro.com.my/arena/hoki/2023/06/974675/young-tigress-ratah-uzbek

 

Sumber : hmetro

Tarikh Input: 07/06/2023 | Kemaskini: 07/06/2023 | m_rizal

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXFCJAK~